flyer 2014-1

flyer 2014-1

Jumlah Pelawat Blog ini 游览总人数

Monday, November 4, 2013



FOKUS / TARGET / RAMALAN BM SPM 2013
** Dipetik / dikemas kini / Diubah suai  Cikgu LI  drp blog cikgunie

SOALAN RAMALAN 1 - CARA MEMUPUK NILAI MURNI DALAM KALANGAN PELAJAR

Penerapan nilai mendefinisikan nilai sebagai peraturan perlakuan standard yang menjadi pegangan ahli masyarakat, ditentukan oleh masyarakat mengikut budaya masyarakat tersebut . Tujuan penerapan nilai adalah untuk mempengaruhi diri individu dengan nilai tertentu yang berbentuk universal dan mutlak, yang difikirkan baik dan sesuai.Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan, umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati, berperikemanusian dan lain-lain lagi.  Namun, pada era dunia tanpa sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman.  Persoalan yang menjadi percaturan minda adalah apakah prakarsa istiqamah yang boleh dijana untuk menjamin amalan suci ini terus diamalkan?

Dalam sesebuah masyarakat, nilai murni amat perlu diterapkan bagi mewujudkan suasana yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Usaha penerapan nilai murni ini perlu dilakukan pada peringkat awal proses sosialisasi, iaitu semasa individu itu berada pada peringkat persekolahan, selain penerapan nilai yang diterapkan oleh ibu bapa di rumah. Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng oleh setiap ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit.  Ibu bapa harus mendidik amalan ini sejak anak-anak dalam kandungan lagi, bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya.  Hal ini dikatakan demikian kerana secara analoginya, kanak-kanak diibaratkan kain putih dan ibu bapa yang akan mencorakkan warna warni kehidupan anak-anak mereka.  Misalnya, ibu bapa harus menerapkan ajaran agama yang mantap dalam atma anak-anak dengan membawa mereka untuk mendekati Tuhan seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-masing.  Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati orang tua dan menyayangi haiwan.  Mereka mestilah  memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa sahaja apatah lagi ahli keluarga sendiri.  Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak secara tidak formal di rumah tentang cara bercakap dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di rumah orang.  Apabila selalu terdedah kepada pengajaran sedemikian, kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu dengan permata. Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Peranan pihak sekolah pula ialah memberi pendidikan secara formal kepada anak-anak yang mula membesar.  Di sekolah, sejak di tadika hingga ke peringkat menengah atas, setiap anak-anak akan diasuh dan diterapkan nilai-nilai murni dalam setiap kandungan mata pelajaran. Pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan mengaitkan anak-anak dengan amalan nilai-nilai murni. Nilai murni seperti tolak ansur dan kerjasam sangat penting dipupuk semasa aktiviti sukan dan permainan dalam aktiviti kokurikulum. Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai murni dalam sukma kanak-kanak tidak harus kita pinggirkan.  Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan misalnya nilai bertanggungjawab, rasional, kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi, berhemah tinggi, kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam sektiar, hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang wajar diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral,  Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam.  Kendatipun, untuk mencapai misi yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni haruslah diamalkan secara berkesan.  Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah boleh menganjurkan Hari Kokurikulum dan memberi anugerah Pelajar Sahsiah Unggul kepada pelajar yang bersikap sopan santun, menghormati guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang  program supaya boleh menjadi suri teladan kepada pelajar lain.  Tambahan pula, para pendidik  harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan mengajar murid-murid terutama pelajar sekolah rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan ketika berkomunikasi dengan guru dan rakan.  Hal ini terjadi demikian kerana misi pendidikan negara kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan.  Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak sejak di bangku sekolah. 

Peranan kerajaan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar bukanlah tugas mudah. Sehubungan itu, kerajaan sewajarnya memandang serius masalah yang berkaitan sahsiah kanak-kanak bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.  Pihak kerajaan sepatutnya bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh. Barangkali, kempen yang dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak disokong oleh banyak pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya, kempen Kami Prihatin gagal mengurangkan “kemelut sosial” yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita, iaitu isu pembuangan bayi.  Justeru , kempen Budi Bahasa Budaya Kita hanya akan berjaya sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam pada itu, kempen ini perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan, iaitu di peringkat tadika untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.  Ceramah, pertandingan menulis esei, melukis poster, pertandingan syarahan, pertandingan kuiz dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen ini.  Pada dasarnya, , kerajaan perlu menggmbleng tenaga mengerah semua pihak bergerak sederap bagi menjamin nilai-nilai murni ini diterapkan dalam kalangan pelajar untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan media elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa kanak-kanak.  Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa kecanggihan teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta akhbar arus perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak pada era moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat.  Mereka akan  tergila-gila kepada media baharu.  Oleh hal yang demikian, pihak media massa bolehlah mengambil kesempatan ini untuk menyiarkan iklan, dokumentari, drama dan paling penting, siaran kartun yang semestinya menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang seorang kanak-kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter yang kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang wanita tua mengangkat barang amat berkesan kepada penonton.  Malahan, drama-drama seperti “Precious Babies”, “Three Pads”, “One Mom”, “Hwang Jin Yi”, “Next Stop, Happiness” dan lain-lain lagi mengandungi  babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari kanak-kanak. 

Akhirulkalam, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Tanpa usaha ibu bapa mendidik dan mengasuh anak-anak dengan nilai-nilai murni sejak kecil, pihak sekolah akan menghadapi kesukaran untuk membentuk peribadi yang unggul dalam jiwa anak-anak. Apatah lagi pihak kerjaan, sangat sukar membentuk tulang yang semakin keras dan buluh yang sudah membengkok. Bukan menuding jari menyalahkan sesiapa, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah dan peribadi anak-anak. Oleh itu, usaha semua pihak dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak agar generasi masa hadapan akan mempunyai kesantunan budi dan kesopanan raga mencapai Wawasan 2020.


SOALAN 2 -  Pelbagai masalah mula menekan keluarga  seperti peningkatan kos hidup dan masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.
Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh anak-anak membantu meringankan beban kewangan keluarga                                       ** Dihasilkan oleh HAJI ISHAK
            
Pakar-pakar dalam bidang sosioekonomi sering menyatakan bahawa kemajuan ialah ‘kos’. Kos yang dimaksudkan ialah peningkatan dalam nilai berbayar terhadap semua keperluan asas. Hal tersebut amatlah nyata kerana dalam tempoh satu dekad belakangan masyarakat terpaksa berhadapan dengan peningkatan mendadak harga barangan keperluan sehingga mencecah 40 peratus. Kenaikan harga barangan pengguna terutama petroleum, gula dan gandum mengikibatkan semua barangan keperluan yang lain turut meningkat. Fenomena tesebut tidak dapat dielakkan kerana minyak menjadi nadi kehidupan dan berupaya mengubah struktur pasaran semasa. Apabila berlaku perubahan dalam kos hidup, justeru terjadilah sekelompok masyarakat yang terkena bahangnya dan mula merasakan beban kewangan. Golongan yang paling terkesan ialah keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Ketika berada dalam situasi tertekan seperti sekarang, anak-anak diharap dapat memahami situasi yang dihadapi oleh ibu bapa. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa.

Jikalau pendahuluan di atas terlalu panjang dan gagal untuk anda kuasai ambil pendahuluan alternatif di bawah ini.

Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.

                Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

                Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.

                Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.

                Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.

                Kaya atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama kita.

                Kesimpulannya, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.                                        

SOALAN 3 -  KELUARGA BAHAGIA MASYARAKAT SEJAHTERA

KELUARGA adalah asas ke arah pembentukan masyarakat yang bahagia dan sejahtera. Pembinaan keluarga bahagia mestilah menerapkan cara hidup yang positif berlandaskan ilmu dan nilai-nilai yang baik. Dalam kehidupan, setiap insan mempunyai cara hidup tersendiri untuk menentukan kebahagiaan. Sebuah keluarga yang bahagia mampu melahirkan masyarakat sejahtera kerana kehidupan setiap individu bermula di rumah atas didikan dan bimbingan ibu bapanya. Justeru, Islam menggalakkan perkahwinan untuk mengawal dan mengatur fitrah manusia baik di dunia mahupun di akhirat.

Melahirkan masyarakat sejahtera bermula dari rumah tangga setiap pasangan yang berkahwin. Perkahwinan setiap pasangan akan melahirkan zuriat sebagai pewaris keturunan mereka. Perkahwinan yang berlandaskan perasaan kasih dan sayang antara suami dan isteri akan membentuk kerukunan dalam rumah tangga. Rumah tangga yang rukun akan membentuk suasana yang harmoni dalam masyarakat. Apabila anak-anak  dibentuk dengan baik dalam sesebuah keluarga, maka masyarakat di sekelilingnya akan harmoni dan sejahtera. Sehubungan dengan itu, ibu bapa hendaklah berusaha membentuk anak-anak mereka  menjadi generasi hebat dan berkualiti. Contoh membina keluarga bahagia boleh diperoleh daripada pendekatan Rasulullah SAW kepada ahli keluarganya. Rasulullah SAW adalah seorang suami dan ayah yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarganya. Rasulullah SAW juga merupakan bapa yang sangat penyayang terhadap anak-anaknya. Walaupun baginda pemimpin masyarakat, kewibawaannya sebagai suami dan ayah tidak dapat ditandingi. Rasulullah SAW juga seorang suami yang sangat romantik. Oleh itu, setiap pasangan perlu menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan untuk mewujudkan kebahagiaan dalam rumah tangga mereka.

Keupayaan seseorang suami sebagai pemimpin dalam sesebuah keluarga adalah sangat penting. Suami yang merupakan ketua keluarga perlu mempunyai hala tuju serta matlamat yang jelas dalam usaha membentuk keluarga bahagia. Keluarga bahagia bergantung kepada corak pentadbiran dan pengurusan ketua keluarga. Ibu bapa yang terlalu mengutamakan harta benda, kerja dan keseronokan hawa nafsu menjadi penyumbang kepada masalah dalam keluarga. Selain itu, kehidupan yang mementingkan hiburan dan kebebasan sosial dikatakan faktor sampingan yang membawa kepada masalah dalam rumah tangga. Sebagai ketua keluarga, setiap suami perlulah menjaga kebajikan setiap ahli keluarganya. Keperluan anak-anak dan isteri hendaklah dipenuhi mengikut kemampuan. Kasih sayang sangat penting dalam menjalin hubungan dengan anak-anak. Meluangkan masa berkualiti dengan setiap ahli keluarga dapat mengelakkan masalah sosial yang tidak mengira mangsa. Manusia memerlukan petunjuk dan hidayah Allah SWT untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Keluarga sangat penting dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan asas dalam pembinaan masyarakat dan negara yang sejahtera. Pembangunan keluarga perlu difahami sebagai prinsip asas ke arah membina keluarga bahagia. Oleh itu, sebagai pemimpin dalam rumah tangga, setiap suami perlulah mempunyai pegangan agama yang kental untuk membimbing keluarga menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Perceraian dalam kalangan pasangan yang berkahwin di negara ini semakin meningkat. Statistik perkahwinan di seluruh negara pada 2008 mencatatkan 130,314 bilangan pasangan yang berkahwin. Manakala yang bercerai membabitkan 22,289 kes. Oleh itu, kes perceraian dikatakan semakin meningkat setiap 15 minit membabitkan satu pasangan bercerai. Isu sosial semasa di Malaysia yang merangkumi permasalahan individu, keluarga, masyarakat menjadi punca perceraian di negara kita. Justeru, usaha melahirkan keluarga bahagia adalah tanggungjawab setiap pasangan yang berkahwin. Tolak ansur dan bertoleransi adalah kunci utama kebahagiaan sesebuah keluarga. Setiap pasangan perlu mempunyai sikap tolak ansur untuk mengelakkan pertengkaran yang boleh membawa kepada perceraian. Mengamalkan sifat mengalah untuk memberi laluan kepada pasangan menyedari kesilapan yang dilakukan dapat memaksimumkan kebahagiaan dalam keluarga. Suasana yang harmoni dalam keluarga akan memberi impak maksima kepada tumbesaran anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh itu, anak-anak yang terasuh dalam keluarga yang harmoni akan membentuk masyarakat yang sejahtera. 

Terdapat beberapa kajian dari Timur dan Barat yang telah menghasilkan buku berkaitan dengan pembangunan keluarga. Setiap pasangan mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan yang berkekalan sehingga ke akhir hayat. Memetik pandangan ilmuwan Islam, Muhammad Al-Ghazali yang menyatakan pendidikan yang baik akan membentuk akhlak yang luhur. Akhlak  yang luhur dibawa oleh Rasulullah SAW telah berhasil membawa masyarakat yang penuh dengan petunjuk hidayah. Segala tindakan, aktiviti dan amalan yang dilakukan oleh ahli keluarga mestilah berlandaskan Islam. Rasulullah SAW pernah menjelaskan: "Bahawasanya aku diutus Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budi pekerti)." (riwayat Ahmad). Pembinaan akhlak yang baik juga menjadi penyumbang kepada pembentukan keluarga yang bahagia dan sejahtera. Pembentukan iman, akhlak dan amal yang baik akan menjurus kepada kehidupan yang bahagia. Tokoh pendidik, Prof. Dr. Hassan Langgulung menjelaskan pembentukan insan soleh sangat penting dalam pembinaan keluarga. Insan soleh adalah manusia yang mendekati kesempurnaan. Oleh itu, setiap pasangan yang berkahwin mestilah memahami sumber rujukan utama, iaitu al-Quran dan al-Sunnah selepas melayari alam rumah tangga bagi membentuk keluarga yang bahagia.

Memang tidak dapat disangkal bahawa keluarga merupakan unit asas kepada pembentukan masyarakat sakinah dalam usaha membangunkan generasi yang berketrampilan, bersahsiah mulia, dan berilmu. Keluarga yang bahagia dapat mengamalkan solat berjemaah di rumah sekurang-kurangnya 2 waktu sehari. Solat berjemaah dapat melahirkan perasaan saling memerlukan antara setiap ahli keluarga. Aktiviti bersalam-salaman dengan ahli keluarga selepas solat berjemaah dapat mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga. Tiada perasaan hasad dan iri yang dapat bertandang di sudut hati setiap ahli keluarga selepas solat berjemaah. Solat itu tiang agama. Maka dengan melaksanakan solat berjemaah di rumah bersama ahli keluarga dapat mewujudkan perasaan sayang menyayangi antara satu sama lain. Rasa cinta dan mengasihi sesama ahli keluarga akan memantapkan kebahagiaan sesebuah keluarga. Mutiara kata ada menyebut, bagi aur dengan tebing. Begitulah ibaratnya sebuah rumah tangga yang dilingkari kebahagiaan akan menumpahkan keharmonian kepada masyarakat sejagat.

Pincang keluarga, pincanglah masyarakat. Hidup bukan keseorangan, sebaliknya hidup memerlukan interaksi sosial yang ditanggung bersama sebagai khalifah di muka bumi ini. Tanpa keluarga bahagia, siapalah kita? Mengendalikan bahtera rumah tangga dengan penuh kasih sayang waima dunia pascakemodenan ini penuh dengan pancaroba. Ramai yang menikmati hidup di rumah besar tapi yang mereka rasa hanya kosong, dan ramai yang hidup di rumah kecil, tapi mereka temui syurga di dalamnya. Menikmati sebuah kebahagiaan tidaklah begitu mahal, kerana harganya cumalah kasih sayang, masa bersama dan kesudian berkongsi rasa. Kita semua mampu membayarnya. Allah SWT merakamkan kisah keluarga Imran dalam kitab suci Al-Quran. Kenapa? Hal ini adalah kerana keluarga Imran adalah keluarga contoh yang merasa risau akan zuriat mereka. Bukan risau soal makan, minum dan tempat berteduh. Bukan juga soal pakaian dan hiburan. Tapi keluarga Imran risaukan nasib zuriatnya, andai mereka gagal dibentuk menjadi sebenar-benar insan. Bagaimana pula dengan masyarakatnya kelak? Oleh itu, keluarga yang bahagia akan menjamin kesejahteraan masyarakatnya.
Tidak ketinggalan lagi ,  Ibu bapa yang reda dengan zuriat masing-masing akan berjaya membentuk keluarga bahagia. Tidak semua impian setiap pasangan akan dikabulkan Tuhan. Ada pasangan yang dikurniai anak-anak yang comel. Ada paangan yang langsung tidak mempunyai zuriat. Namun, ada juga pasangan yang dikurniai anak-anak istimewa. Tidak seharusnya ibu bapa meminggirkan anak-anak yang kurang upaya atau anak-anak yang tidak bijak hingga melahirkan perasaan tersisih dalam diri anak-anak. Dalam kitab sejarah Ennels, karya Tesites, kisah masyarakat Rom Purba telah dinukilkan. Pada tahun ke seratus, hidup atau mati seorang anak kecil, bergantung pada belas ihsan seorang ayah. Bagi wanita berada, yang mereka dahulukan adalah kemewahan, dan anak-anak diserahkan pada hamba yang paling hina. Lebih dahsyat, seks rambang dan arak adalah rutin harian mereka. Justeru, seorang ayah berperanan menjaga anak-anak mereka untuk terus menikmati kelangsungan hidup.

Peranan seorang ketua keluarga dapat mengekalkan kebahagiaan yang sepatutnya menjadi milik setiap orang anak. Dunia juga telah membuktikan, Hellen Keller yang dilahirkan pekak, buta dan bisu, atau Michael Oher yang berketurunan Afrika, atau Riced Brenson, seorang kanak-kanak disleksia. Mereka semua tidak akan membesar menjadi sumber inspirasi dan tokoh dunia, tanpa pengorbanan keluarga yang berhati suci, dan yang menerima mereka seadanya. Di sebalik warna kulit yang berbeza, di sebalik jasad yang tidak sempurna, dan disebalik sejarah hidup yang hina, rasa syukur dan ikhlas sebuah keluarga, membawa mereka semua merasa erti bahagia. Oleh  itu, setiap ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa sepatutnya bersyukur dengan zuriat yang dianugerah kepada mereka. Memiliki sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang lain adalah satu anugerah. Persamaan dan perbezaan diukur dengan setiap apa yang dimiliki. Sesungguhnya manusia sentiasa ingat apa yang dimiliki oleh orang lain dan sentiasa lupa dengan apa yang mereka miliki. Begitu juga dengan anak-anak. Kebahagiaan bukan diukur dengan kelebihan tetapi juga kekurangan kerana kekurangan kita adalah kesempurnaan orang lain. Seyogia, terimalah seadanya apa yang kita miliki kerana kebahagiaan itu milik semua insan.
Intihanya, kebahagiaan adalah impian semua orang. Kebahagiaan rumah tangga dan kebahagiaan dalam kehidupan adalah saling berkait. Kebahagiaan dalam kehidupan bermula daripada kehidupan dalam rumah tangga. Rumah tangga yang aman akan melahirkan persekitaran yang harmoni. Persekitaran yang harmoni akan melahirkan kesejahteraan masyarakat. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Oleh itu, berusahalah mencari kebahagiaan kerana di situ kunci kejayaan.

SOALAN 4 -  Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang remaja. Sebagai seorang remaja, jelaskan  ciri-ciri rakan sebaya yang menjadi pilihan anda.

Peribahasa Melayu ada menyebut, seperti isi dengan kuku. Hubungan yang akrab antara seorang individu dengan seorang individu lain diumpamakan seperti isi dengan kuku. Bagaimana rapatnya hubungan isi dengan kuku, begitulah juga ibaratnya hubungan yang akrab antara seseorang itu dengan kawan rapatnya. Kawan rapat ialah kawan tempat kita mengadu dan berkongsi masalah sama ada baik atau tidak. Ibarat mencubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya. Begitulah peranan dan fungsi rakan atau sahabat dalam kehidupan seseorang remaja. Remaja amat memerlukan rakan sebaya untuk berkongsi masalah dan meluahkan perasaan. Namun, hendak mencari kawan rapat yang sanggup menangis dan ketawa bersama-sama sangat sukar. Sebagai seorang remaja, saya menggariskan beberapa kriteria dalam pemilihan kawan rapat yang sebaya dengan saya.

Antara ciri utama rakan sebaya yang menjadi pilihan saya ialah seorang yang menghormati ibu bapa dan orang tua. Rakan sebaya yang menghormati ibu bapa dan orang tua lebih cenderung untuk menghormati sahabat mereka. Rakan sebaya jenis ini akan lebih bertolak ansur dalam perhubungan dan sentiasa menjaga hati dan perasaan sahabat baiknya. Malah, rakan sebaya yang menghormati orang tua juga akan sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan sahabatnya. Mereka lebih mengutamakan sahabat baik daripada kepentingan diri mereka sendiri. Mutiara kata ada menyebut, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, nescaya kita akan terkena tempias wangiannya. Sebaliknya jika kita berkawan dengan pembuat senjata, nescaya kita akan terkena percikan apinya. Oleh itu, dalam memilih rakan sebaya yang dapat membantu semasa saya dalam kesusahan ialah memilih rakan sebaya yang menghormati ibu bapa mereka dan orang yang lebih tua. Pujangga lama ada menyebut, yang tua disayangi, yang muda dikasihi.

Selain itu, memilih rakan sebaya yang rajin membaca dan bijak dalam pelajaran adalah ciri yang sangat penting. Sekiranya kita mempunyai masalah dalam pembelajaran, kita akan dapat meminta bantuan rakan sebaya kita menyelesaikan masalah pembelajaran. Rakan sebaya yang rajin membaca akan sentiasa mengajak kita menelaah pelajaran dan mengunjungi pusat sumber pada setiap masa senggang atau masa cuti sekolah. Rakan sebaya yang bijak juga akan mengajar kita membahagikan masa dengan baik. Berkawan dengan orang rajin membaca dan bijak dalam pembelajaran akan meningkatkan motivasi saya. Saya akan menjadikan rakan sebaya yang bijak sebagai idola saya dalam mencapai kejayaan. Mutiara kata yang berbunyi, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya sangat sesuai dengan peranan rakan sebaya yang membantu kita melakar kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang. Oleh itu, tidak rugi jika saya memilih rakan sebaya yang rajin membaca dan bijak dalam pelajaran sebagai sahabat baik saya kerana ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Sahsiah dan budi pekerti memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi seseorang remaja. Pembentukan peribadi yang terpuji bukan hadir dalam sekelip mata. Begitu juga bukan tugas ibu bapa menggalas tanggungjawab sedemikian. Peranan rakan sebaya banyak mempengaruhi tingkah laku dan sahsiah remaja pada masa kini. Sehubungan dengan itu, saya akan memilih rakan sebaya yang mempunyai budi pekerti yang baik dan sahsiah yang terpuji sahaja sebagai sahabat baik saya. Hal ini dikatakan demikian kerana, sahabat yang mempunyai sahsiah yang terpuji akan menunjukkan saya mana yang positif dan mana yang negatif. Mutiara kata lama ada menyebut, seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit. Oleh itu, untuk mengelakkan saya terjebak dalam gejala yang tidak sihat, saya akan memilih rakan sebaya yang mempunyai budi pekerti yang terpuji agar saya dapat mencontohinya.

Intihanya, membuat pilihan adalah di tangan kita. Ibarat mencari pelangi, kita perlu menunggu hujan reda. Ibarat mengutip kenangan, kita perlu mempunyai pengalaman. Tidak perlu mengasah parang atau menarik baju ke lengan, kita bebas membuat pilihan siapakah calon rakan sebaya yang layak menjadi sahabat baik kita. Oleh itu, buatlah pilihan yang bijak dalam mencari rakan sebaya. Sekali terjebak selamanya terpenjara. Sekali terlepas peluang, jalan pulang ke pangkal jalan tetap ada. Justeru, berhati-hatilah memilih rakan sebaya kerana rakan sebaya boleh membawa kita ke syurga dan rakan sebaya juga yang boleh mengheret kita ke neraka.


Bahagian B  [ Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit ]   [ 100 markah ]
Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.
1                    Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang remaja. Sebagai seorang remaja, jelaskan ciri-ciri rakan sebaya yang menjadi pilihan anda.
2                    Amalan berjimat cermat amat penting dalam menghadapi krisis ekonomi hari ini. Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam memupuk amalan berjimat cermat.
3                    Usaha yang berterusan untuk membantu golongan  Orang Kurang Upaya (OKU) amat wajar supaya mereka dapat memberikan sumbangan kepada negara. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha untuk membantu golongan ini.
4                    Kegiatan jenayah membabitkan pemerdagangan manusia kini menjadi isu sejagat. Bincangkan kerjasama antara Malaysia dengan negara jiran untuk menangani masalah tersebut.

5                          Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
                             Budi sedikit bila kan hilang,
                            Itu menjadi kenang-kenangan.
Berdasarkan maksud pantun tersebut, huraikan kepentingan hidup berbudi dalam masyarakat.


SOALAN 4 : KEBURUKAN TABIAT MEROKOK DALAM KALANGAN PELAJAR

Tabiat merokok dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat seiiring dengan kenaikan harga rokok. Masyarakat Malaysia seolah-olah gembira melihat gambar janin yang tidak lengkap di kotak-kotak rokok dan pelbagai gambar ngeri yang terpamer di kotak rokok. Bahkan amalan merokok dalam kalangan rakyat Malaysia sudah berjangkit kepada golongan wanita. Para pelajar apatah lagi. Semua premis perniagaan ada meletakkan tanda amaran menjual rokok kepada remaja bawah umur 18 tahun namun ia diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga. Tiada tindakan tegas yang diambil terhadap peniaga yang menjual hasil tembakau kepada remaja bawah umur 18 tahun. Hal ini merupakan pemangkin kepada meningkatnya jumlah perokok di negara kita. Walaupun kerajaan berusaha untuk menghapuskan amalan merokok dengan menaikkan harga rokok, jumlah perokok tegar tetap bertambah. Di manakah silapnya kempen-kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok tegar di negara kita? Tepuk dada tanya selera kerana setiap yang dilarang ada kesan buruknya. Begitu juga dengan amalan merokok.

     Amalan merokok dalam kalangan pelajar amat membimbangkan. Hal ini dikatakan demikian  kerana golongan ini belum bekerja dan masih berada di bangku sekolah. Jika mereka masih berada di bangku sekolah, bagaimana mereka menguruskan kewangan untuk membeli rokok yang semakin meningkat harganya? Kesan merokok kepada golongan pelajar amat berbahaya. Para pelajar yang merokok akan mengalami ketagihan kerana mereka masih muda dan rokok mengandungi nikotin yang boleh merosakkan sistem saraf dan otak mereka. Hal ini demikian kerana otak para pelajar ini masih dalam proses pembesaran. Sekiranya hal ini berlarutan, akan berlaku pembekuan darah dalam saraf otak pelajar ini. Apabila hal ini berlaku, para pelajar yang merokok ini akan mengalami koma seterusnya boleh menyebabkan kematian. Justeru, ibu bapa dinasihatkan memantau kegiatan anak-anak agar tidak terjebak dalam gejala merokok ini kerana sekali mencuba mereka tidak akan berpatah balik.

     Selain itu, amalan merokok ini akan menyebabkan kerosakan organ dalaman seperti paru-paru. Para pelajar yang merokok akan menyebabkan paru-paru mereka menjadi kehitaman. Hal ini demikian kerana, asap rokok yang mengandungi tar dan nikotin akan terperangkap dalam paru-paru. Apabila keadaan ini berlarutan, paru-paru seseorang pelajar itu akan menjadi kehitaman. Paru-paru yang berwarna kehitaman ini adalah tidak elok dan lama-kelamaan paru-paru seseorang perokok akan rosak. Kerosakan paru-paru akan menyebabkan seseorang itu sukar bernafas, sering batuk-batuk dan akhirnya mendapat kanser paru-paru. Akhirnya ia akan membawa maut kepada perokok tersebut. WHO mengeluarkan statistik, 8 juta orang maut di seluruh dunia setiap hari kerana merokok. Mahukah ini berlaku kepada kita, anak-anak kita atau anak-anak murid kita? 

     Seterusnya, keburukan amalan merokok dalam kalangan pelajar ialah bertambahnya gejala sosial. Hal ini berlaku demikian kerana, para pelajar yang merokok ini akan ponteng sekolah, mencuba benda yang lebih mengkhayalkan daripada rokok sepertu syabu dan ganja seterusnya melibatkan diri dalam kegiatan ragut. Masalah sosial dalam kalangan pelajar adalah kerana tabiat merokok yang berlebihan menyebabkan seseorang pelajar itu merasakan dirinya cukup dewasa untuk melakukan aktiviti orang dewasa. Rata-rata pelajar yang merokok akan tercicir daripada alam persekolahan kerana hukuman mandatori terhadap seseorang pelajar yang didapati merokok ialah buang sekolah. Jika setiap bulan pelajar itu dibuang sekolah, di manakah mereka akan belajar? Jawapannya mereka akan mencipta aktiviti baru yang tiada faedah seperti melepak, melakukan vandalisme dan yang paling ditakuti mereka melibatkan diri dalam jenayah. Oleh itu, amalan merokok mendatang pelbagai impak dalam diri seseorang pelajar.

     Intihanya, setiap sesuatu yang diciptakan itu mempunyai kebaikan dan keburukan. Sesungguhnya merokok tidak memberikan sebarang impak maksima dalam kehidupan seseorang individu malahan ia memberikan pelbagai kesan negatif. Pisau di tangan kita, mentimun pun di tangan kita. Justeru, gunakanlah akal yang bijaksana untuk memotong atau tidak mentimun yang berada dalam tangan kita. Tiada ubat yang lebih baik untuk mengubati penyakit selain mencegahnya. Oleh itu, jauhilah amalan merokok kerana merokok mengundang bahaya kepada kesihatan kita. 

SOALAN RUMUSAN ( 30 % )
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang    tindakan-tindakan bagi menangani iklan yang negatif   dan kebaikan-kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan.  Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
                Industri periklanan di Malaysia merupakan satu daripada sektor yang berkembang pesat dan berdaya saing. Perkembangan ini dapat meningkatkan pendapatan negara dan membuka peluang pekerjaan. Di samping itu, kepesatan industri ini mendorong penghasilan dan penerbitan iklan yang lebih banyak. Namun, disebabkan terlalu ghairah untuk memenangi hati pengguna, kadangkala syarikat periklanan mengabaikan peranan iklan sebagai sumber maklumat sehingga menjejaskan kepentingan pengguna. Oleh hal yang demikian, kerajaan perlu bertindak bagi mengawal dan memantau aktiviti periklanan di negara ini.

                Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan telah menyebabkan sebahagian masyarakat menggunakan kemudahan Internet untuk membeli barangan dan perkhidmatan, terutamanya golongan berada. Walau bagaimana pun, masyarakat perlu bijak melakukan pembelian kerana kes penipuan melalui iklan di Inetrnet dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa. Pembeli dinasihati supaya menyimpan bukti transaksi pembayaran sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini. Dalam hal ini, terdapat pembeli yang pernah tertipu telah mewujudkan laman sosial antipenipuan. Mereka menyenaraikan nama kedai dan individu yang disyaki menipu wang pelanggan sebagai panduan kepada pengguna. Kmen-komen di laman sosial tersebut dapat dijadikan rujukan sebelum pengguna membuat pembelian.

                Selain itu terdapat aduan bahawa pengguna tidak menerima barangan yang dibeli walaupun pembayaran sudah dilakukan. Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan. Di samping itu, KPDNKK juga telah mengambil tindakan memperhalus pindaan akta berkaitan iklan palsu, iaitu mengenakan hukuman atau penalti terhadap pengiklan yang menghasilkan iklan yang mengelirukan. Misalnya, dakwaan pengiklan terhadap penyembuhan penyakit kronik dan penggunaan logo halal yang meragukan. Oleh itu, iklan yang hendak disiarkan mestilah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa terlenih dahulu.

                Kini, masyarakat semakin mudah dipengaruhi oleh iklan yang dipaparkan. Oleh hal yang demikian, mereka terdedah kepada pemaparan iklan palsu dan iklan yang mengelirukan oleh syarikat-syarikat periklanan yang mengambil kesempatan daripada keadaan ini. Masyarakat pengguna sewajarnya membuat aduan sekiranya terdapat iklan yang menyebarkan maklumat palsu. Sehubungan dengan itu, masyarakat tidak seharusnya mempercayai sesuatu iklan tanpa usul periksa. Sesungguhnya, iklan merupakan medium pemasaran yang mampu mempengaruhi pengguna, namun menjadi tanggungjawab syarikat periklanan menghasilkan iklan yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Dipetik dan diubahsuai daripada ‘Awasi Iklan Mengelirukan dan Palsu’ oleh zulaini ismail, Dewan Ekonomi, Mac 2013
Soalan 2 : Pemahaman - Soalan 2 (a)
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)                 Apakah maksud mengambil kesempatan?           [2 markah]

(ii)               Pengarang mengemukakan beberapa manfaat industry periklanan. Kemukakan manfaat-manfaat tersebut.         [3 markah]

(iii)             Pada pendapat anda, mengapakah pengguna mudah dipengaruhi oleh iklan barangan dan perkhidmatan yang dipaparkan? Nyatakan tiga alas an.                                                       [4 markah]


Contoh jawapan rumusan karangan.

Pendahuluan (tukar terlebih dahulu perkataan kata kerja selepas arahan, iaitu tindakan-tindakan kepada perkataan yang sinonim atau sama erti dengan tindakan)
Petikan membincangkan  langkah-langkah bagi menangani iklan yang negatif dalam Internet di negara kita.
Isi tersurat (Isi yang terdapat dalam petikan)
Cara mengesan isi tersurat yang terdapat dalam petikan ialah cari perkataan berikut terlebih dahulu
Perlu
Dinasihati
Juga
Dapat
Selain itu
Telah
Sewajarnya 
Antara tindakan bagi menangani iklan yang negatif ialah kerajaan  perlu  bertindak bagi mengawal dan memantau aktiviti periklanan di negara ini.  Masyarakat  perlu bijak melakukan pembelian di Internet. Pembeli  dinasihati   supaya menyimpan bukti transaksi pembayaran sebagai langkah berjaga-jaga.  Seterusnya, komen-komen di laman sosial   dapat  dijadikan rujukan sebelum pengguna membuat pembelian. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)  telah  melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan. Di samping itu, KPDNKK  telah mengambil tindakan memperhalus pindaan akta berkaitan iklan palsu                                                        ------------------------------------------------------------------

Isi tersirat (tiada dalam petikan tetapi KBKK iaitu kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan)
           Kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan ialah dapat mempengaruhi pengguna membeli barangan yang diiklankan. Selain itu, maklumat iklan  juga  dapat melariskan barangan yang dijual kerana barangan tersebut memberi kesan yang dikehendaki oleh pengguna.
Kesimpulan (Saranan Penulis/Calon)
       Kesimpulannya, pengeluar dan syarikat periklanan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan agar pengguna tidak tertipu semasa membeli barangan di Internet.


Rumusan karangan yang lengkap.


Petikan membincangkan langkah-langkah bagi menangani iklan yang negatif dalam Internet  di negara kita.
Antara tindakan bagi menangani iklan yang negatif ialah kerajaanperlu bertindak bagi mengawal dan memantau aktiviti periklanan di negara ini. Masyarakat perlu bijak melakukan pembelian di Internet. Pembelidinasihati supaya menyimpan bukti transaksi pembayaran semasa pembelian. Seterusnya, komen-komen di laman sosial dapat dijadikan rujukan sebelum pengguna membuat pembelian. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telahmelancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan. Di samping itu, KPDNKK telah mengambil tindakan memperhalus pindaan akta berkaitan iklan palsu.

Kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan ialah dapat mempengaruhi pengguna membeli barangan yang diiklankan. Selain itu, maklumat iklan dapat melariskan barangan yang dijual kerana barangan tersebut memberi kesan yang kepada pengguna.

Kesimpulannya, syarikat periklanan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan agar pengguna tidak tertipu semasa membeli barangan di Internet.                                  [120 patah perkataan]