FOKUS
/ TARGET / RAMALAN BM SPM 2013
** Dipetik / dikemas kini / Diubah
suai Cikgu LI drp blog cikgunie
SOALAN RAMALAN 1 - CARA MEMUPUK NILAI MURNI DALAM KALANGAN
PELAJAR
Penerapan nilai
mendefinisikan nilai sebagai peraturan perlakuan standard yang menjadi pegangan
ahli masyarakat, ditentukan oleh masyarakat mengikut budaya masyarakat tersebut
. Tujuan penerapan nilai adalah untuk mempengaruhi diri individu dengan nilai tertentu
yang berbentuk universal dan mutlak, yang difikirkan baik dan sesuai.Nilai murni
boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan, umpamanya
hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati, berperikemanusian
dan lain-lain lagi. Namun, pada era dunia tanpa sempadan ini, amalan
murni ini semakin lenyap ditelan zaman. Persoalan yang menjadi percaturan minda adalah apakah prakarsa
istiqamah yang boleh dijana untuk menjamin amalan suci ini terus diamalkan?
Dalam sesebuah
masyarakat, nilai murni amat perlu diterapkan bagi mewujudkan suasana yang
seimbang dari segi rohani dan jasmani. Usaha penerapan nilai murni ini perlu dilakukan
pada peringkat awal proses sosialisasi, iaitu semasa individu itu berada pada
peringkat persekolahan, selain penerapan nilai yang diterapkan oleh ibu bapa di
rumah. Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng oleh
setiap ibu bapa dan haruslah dijulang
sampai ke langit. Ibu bapa harus mendidik amalan ini sejak
anak-anak dalam kandungan lagi, bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah
dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana secara
analoginya, kanak-kanak diibaratkan
kain putih dan ibu bapa yang akan mencorakkan warna warni kehidupan anak-anak
mereka. Misalnya, ibu bapa harus
menerapkan ajaran agama yang mantap dalam atma anak-anak dengan membawa mereka
untuk mendekati Tuhan seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama
masing-masing. Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk
menghormati orang tua dan menyayangi haiwan. Mereka mestilah
memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa
sahaja apatah lagi ahli keluarga sendiri. Malah, mereka harus mendidik
kanak-kanak secara tidak formal di rumah tentang cara bercakap dengan orang tua
dan tingkah laku semasa berada di rumah orang. Apabila selalu terdedah
kepada pengajaran sedemikian, kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu dengan permata.
Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi suri teladan yang terbaik
kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun kerana pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Peranan pihak sekolah pula
ialah memberi pendidikan secara formal kepada anak-anak yang mula membesar. Di
sekolah, sejak di tadika hingga ke peringkat menengah atas, setiap anak-anak
akan diasuh dan diterapkan nilai-nilai murni dalam setiap kandungan mata
pelajaran. Pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan mengaitkan anak-anak
dengan amalan nilai-nilai murni. Nilai murni seperti tolak ansur dan kerjasam
sangat penting dipupuk semasa aktiviti sukan dan permainan dalam aktiviti
kokurikulum. Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk
nilai-nilai murni dalam sukma kanak-kanak tidak harus kita pinggirkan.
Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan misalnya
nilai bertanggungjawab, rasional, kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi,
berhemah tinggi, kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam
sektiar, hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang wajar
diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik Dan
Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam. Kendatipun, untuk
mencapai misi yang komprehensif dan
konkrit, nilai-nilai murni haruslah diamalkan secara berkesan.
Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah boleh menganjurkan Hari Kokurikulum
dan memberi anugerah Pelajar Sahsiah Unggul kepada pelajar yang bersikap sopan
santun, menghormati guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang program
supaya boleh menjadi suri teladan kepada pelajar lain. Tambahan pula,
para pendidik harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan mengajar murid-murid terutama pelajar
sekolah rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan
ketika berkomunikasi dengan guru dan rakan. Hal ini terjadi demikian
kerana misi pendidikan negara kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang
cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal
insan yang mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip kelima Rukun
Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan. Deduksinya, sudah
terang lagi bersuluh bahawa pendidikan merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni
dalam kalangan kanak-kanak sejak di bangku sekolah.
Peranan kerajaan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar
bukanlah tugas mudah. Sehubungan itu, kerajaan sewajarnya memandang serius
masalah yang berkaitan sahsiah kanak-kanak bagai menghela rambut
dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
Pihak kerajaan sepatutnya bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan
bukan kerajaan (NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain
lagi untuk menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di
tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh.
Barangkali, kempen yang dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak
disokong oleh banyak pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap
bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya, kempen Kami Prihatin gagal
mengurangkan “kemelut sosial” yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita,
iaitu isu pembuangan bayi. Justeru , kempen Budi Bahasa Budaya Kita
hanya akan berjaya sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam pelaksanaannya.
Dalam pada itu, kempen ini perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan,
iaitu di peringkat tadika untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan
kanak-kanak. Ceramah, pertandingan menulis esei, melukis poster, pertandingan
syarahan, pertandingan kuiz dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen
ini. Pada dasarnya, , kerajaan perlu menggmbleng tenaga mengerah semua pihak bergerak sederap bagi
menjamin nilai-nilai murni ini diterapkan dalam kalangan pelajar untuk
melahirkan masyarakat yang sejahtera.
Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan
media elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa
kanak-kanak. Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa
kecanggihan teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta akhbar
arus perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak pada era
moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat. Mereka akan
tergila-gila kepada media baharu. Oleh hal yang demikian, pihak media massa bolehlah mengambil
kesempatan ini untuk menyiarkan iklan, dokumentari, drama dan paling penting,
siaran kartun yang semestinya menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang seorang kanak-kanak
yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter yang kerap
disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang wanita tua mengangkat
barang amat berkesan kepada penonton. Malahan, drama-drama seperti “Precious Babies”, “Three Pads”, “One
Mom”, “Hwang Jin Yi”, “Next Stop, Happiness” dan lain-lain lagi
mengandungi babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni
yang boleh dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan
seharian. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media
massa merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam
sanubari kanak-kanak.
Akhirulkalam, yang bulat tidak
akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Tanpa
usaha ibu bapa mendidik dan mengasuh anak-anak dengan nilai-nilai murni sejak
kecil, pihak sekolah akan menghadapi kesukaran untuk membentuk peribadi yang
unggul dalam jiwa anak-anak. Apatah lagi pihak kerjaan, sangat sukar membentuk tulang yang semakin keras
dan buluh yang sudah membengkok. Bukan
menuding jari menyalahkan sesiapa, ibu bapa memainkan peranan yang penting
dalam pembentukan sahsiah dan peribadi anak-anak. Oleh itu, usaha semua
pihak dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak agar generasi
masa hadapan akan mempunyai kesantunan
budi dan kesopanan raga mencapai Wawasan 2020.
SOALAN 2 - Pelbagai
masalah mula menekan keluarga seperti peningkatan kos hidup dan
masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa
untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.
Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah
yang boleh anak-anak membantu meringankan beban kewangan keluarga **
Dihasilkan
oleh HAJI ISHAK
Pakar-pakar
dalam bidang sosioekonomi sering menyatakan bahawa kemajuan ialah ‘kos’. Kos
yang dimaksudkan ialah peningkatan dalam nilai berbayar terhadap semua
keperluan asas. Hal tersebut amatlah nyata kerana dalam tempoh satu dekad
belakangan masyarakat terpaksa berhadapan dengan peningkatan mendadak harga
barangan keperluan sehingga mencecah 40 peratus. Kenaikan harga barangan
pengguna terutama petroleum, gula dan gandum mengikibatkan semua barangan
keperluan yang lain turut meningkat. Fenomena tesebut tidak dapat dielakkan
kerana minyak menjadi nadi kehidupan dan berupaya mengubah struktur pasaran
semasa. Apabila berlaku perubahan dalam kos hidup, justeru terjadilah
sekelompok masyarakat yang terkena bahangnya dan mula merasakan beban kewangan.
Golongan yang paling terkesan ialah keluarga yang berada pada garis kemiskinan
dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Ketika berada dalam situasi
tertekan seperti sekarang, anak-anak diharap dapat memahami situasi yang
dihadapi oleh ibu bapa. Sehubungan dengan itu,
anak-anak hendaklah melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan
bebanan kewangan ibu bapa.
Jikalau
pendahuluan di atas terlalu panjang dan gagal untuk anda kuasai ambil
pendahuluan alternatif di bawah ini.
Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini
kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca
daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak,
perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan
banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang
tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian
seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia
tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali
kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah
di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh
golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan
susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat
mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.
Budaya berjimat
cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi
begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat
dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami
keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa
berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah
terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik
dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang
dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan
kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat
itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun
segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah,
jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20
justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat
amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap
ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan
kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak
perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari
rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa,
seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak
seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan
minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali
apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap
belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup
rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang
diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera
untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah
mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam
hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang
bersama.
Walaupun
bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti
Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka.
Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara
kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu
dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan
kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti
sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan
malas. Sebenarnya telah banyak teladan
yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al
Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya
menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu,
langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang
cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang
yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.
Bak
kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah
peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada
induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang
telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan
sikap membalas budi dan bertanggungjawab
terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan
menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas
kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa
langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah
sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih
bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa
setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan
kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.
Kaya
atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya
adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal
putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua
orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di
bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan
untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di
mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk
memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa.
Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu
berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh
Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan
mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum
itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita
gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu
Allah akan tetap bersama-sama kita.
Kesimpulannya,
ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan,
setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak
dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab
mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh
menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga
dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat
sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.
SOALAN 3 - KELUARGA
BAHAGIA MASYARAKAT SEJAHTERA
KELUARGA adalah asas ke arah pembentukan masyarakat yang bahagia dan
sejahtera. Pembinaan keluarga bahagia mestilah menerapkan cara hidup yang
positif berlandaskan ilmu dan nilai-nilai yang baik. Dalam kehidupan, setiap
insan mempunyai cara hidup tersendiri untuk menentukan kebahagiaan. Sebuah
keluarga yang bahagia mampu melahirkan masyarakat sejahtera kerana kehidupan
setiap individu bermula di rumah atas didikan dan bimbingan ibu bapanya.
Justeru, Islam menggalakkan perkahwinan untuk mengawal dan mengatur fitrah
manusia baik di dunia mahupun di akhirat.
Melahirkan masyarakat
sejahtera bermula dari rumah tangga setiap pasangan yang berkahwin. Perkahwinan
setiap pasangan akan melahirkan zuriat
sebagai pewaris keturunan mereka. Perkahwinan yang berlandaskan
perasaan kasih dan sayang antara suami dan isteri akan membentuk kerukunan
dalam rumah tangga. Rumah tangga yang rukun akan membentuk suasana yang harmoni
dalam masyarakat. Apabila anak-anak dibentuk dengan baik dalam
sesebuah keluarga, maka masyarakat di sekelilingnya akan harmoni dan sejahtera.
Sehubungan dengan itu, ibu bapa hendaklah berusaha membentuk anak-anak mereka menjadi
generasi hebat dan berkualiti. Contoh
membina keluarga bahagia boleh diperoleh daripada pendekatan Rasulullah SAW
kepada ahli keluarganya. Rasulullah SAW adalah seorang suami dan ayah yang
sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarganya. Rasulullah SAW juga
merupakan bapa yang sangat penyayang terhadap anak-anaknya. Walaupun
baginda pemimpin masyarakat, kewibawaannya sebagai suami dan ayah tidak dapat
ditandingi. Rasulullah SAW juga seorang suami yang sangat romantik. Oleh itu, setiap pasangan perlu menjadikan
Rasulullah SAW sebagai suri teladan untuk mewujudkan kebahagiaan dalam rumah
tangga mereka.
Keupayaan seseorang suami sebagai pemimpin dalam sesebuah keluarga adalah
sangat penting. Suami yang merupakan ketua keluarga perlu mempunyai hala tuju serta
matlamat yang jelas dalam usaha membentuk keluarga bahagia. Keluarga
bahagia bergantung kepada corak pentadbiran dan pengurusan ketua keluarga.
Ibu bapa yang terlalu mengutamakan harta benda, kerja dan keseronokan hawa
nafsu menjadi penyumbang kepada masalah dalam keluarga. Selain itu, kehidupan
yang mementingkan hiburan dan kebebasan sosial dikatakan faktor sampingan yang
membawa kepada masalah dalam rumah tangga. Sebagai ketua keluarga, setiap suami
perlulah menjaga kebajikan setiap ahli keluarganya. Keperluan anak-anak dan isteri
hendaklah dipenuhi mengikut kemampuan. Kasih sayang sangat penting dalam
menjalin hubungan dengan anak-anak. Meluangkan masa berkualiti dengan setiap
ahli keluarga dapat mengelakkan masalah sosial yang tidak mengira mangsa.
Manusia memerlukan petunjuk dan hidayah Allah SWT untuk mencapai kejayaan dalam
kehidupan duniawi dan ukhrawi. Keluarga sangat penting dalam kehidupan manusia
kerana ia merupakan asas dalam pembinaan masyarakat dan negara yang sejahtera.
Pembangunan keluarga perlu difahami sebagai prinsip asas ke arah membina
keluarga bahagia. Oleh itu, sebagai
pemimpin dalam rumah tangga, setiap suami perlulah mempunyai pegangan agama
yang kental untuk membimbing keluarga menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Perceraian dalam kalangan pasangan yang berkahwin di negara ini semakin
meningkat. Statistik perkahwinan di
seluruh negara pada 2008 mencatatkan 130,314 bilangan pasangan yang berkahwin.
Manakala yang bercerai membabitkan 22,289 kes. Oleh itu, kes perceraian
dikatakan semakin meningkat setiap 15 minit membabitkan satu pasangan bercerai.
Isu sosial semasa di Malaysia yang merangkumi permasalahan individu, keluarga,
masyarakat menjadi punca perceraian di negara kita. Justeru, usaha melahirkan
keluarga bahagia adalah tanggungjawab setiap pasangan yang berkahwin. Tolak
ansur dan bertoleransi adalah kunci utama kebahagiaan sesebuah keluarga. Setiap
pasangan perlu mempunyai sikap tolak ansur untuk mengelakkan pertengkaran yang
boleh membawa kepada perceraian. Mengamalkan sifat mengalah untuk
memberi laluan kepada pasangan menyedari kesilapan yang dilakukan dapat
memaksimumkan kebahagiaan dalam keluarga. Suasana yang harmoni dalam keluarga
akan memberi impak maksima kepada tumbesaran anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Oleh itu, anak-anak yang terasuh dalam keluarga yang harmoni akan membentuk
masyarakat yang sejahtera.
Terdapat beberapa kajian dari Timur dan Barat yang telah menghasilkan
buku berkaitan dengan pembangunan keluarga. Setiap pasangan mempunyai
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan
yang berkekalan sehingga ke akhir hayat. Memetik
pandangan ilmuwan Islam, Muhammad Al-Ghazali yang menyatakan pendidikan yang
baik akan membentuk akhlak yang luhur. Akhlak yang luhur
dibawa oleh Rasulullah SAW telah berhasil membawa masyarakat yang penuh dengan
petunjuk hidayah. Segala tindakan, aktiviti dan amalan yang dilakukan oleh ahli
keluarga mestilah berlandaskan Islam.
Rasulullah SAW pernah menjelaskan: "Bahawasanya aku diutus Allah untuk
menyempurnakan keluhuran akhlak (budi pekerti)." (riwayat Ahmad).
Pembinaan akhlak yang baik juga menjadi penyumbang kepada pembentukan keluarga
yang bahagia dan sejahtera. Pembentukan iman, akhlak dan amal yang baik akan
menjurus kepada kehidupan yang bahagia. Tokoh
pendidik, Prof. Dr. Hassan Langgulung menjelaskan pembentukan insan soleh
sangat penting dalam pembinaan keluarga. Insan soleh adalah manusia yang mendekati kesempurnaan. Oleh itu, setiap pasangan yang berkahwin mestilah
memahami sumber rujukan utama, iaitu al-Quran dan al-Sunnah selepas melayari
alam rumah tangga bagi membentuk keluarga yang bahagia.
Memang tidak dapat disangkal bahawa keluarga merupakan unit asas kepada
pembentukan masyarakat sakinah dalam usaha membangunkan generasi yang
berketrampilan, bersahsiah mulia, dan berilmu. Keluarga yang bahagia dapat
mengamalkan solat berjemaah di rumah sekurang-kurangnya 2 waktu sehari.
Solat berjemaah dapat melahirkan perasaan saling memerlukan antara setiap ahli
keluarga. Aktiviti bersalam-salaman dengan ahli keluarga selepas solat
berjemaah dapat mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga. Tiada perasaan hasad dan iri yang dapat bertandang
di sudut hati setiap ahli keluarga selepas solat berjemaah. Solat itu
tiang agama. Maka dengan melaksanakan solat berjemaah di rumah bersama ahli
keluarga dapat mewujudkan perasaan sayang menyayangi antara satu sama lain.
Rasa cinta dan mengasihi sesama ahli keluarga akan memantapkan kebahagiaan
sesebuah keluarga. Mutiara kata ada
menyebut, bagi aur dengan tebing. Begitulah ibaratnya sebuah rumah tangga yang dilingkari kebahagiaan akan
menumpahkan keharmonian kepada masyarakat sejagat.
Pincang keluarga, pincanglah
masyarakat. Hidup bukan keseorangan, sebaliknya hidup memerlukan interaksi sosial yang
ditanggung bersama sebagai khalifah di muka bumi ini. Tanpa keluarga
bahagia, siapalah kita? Mengendalikan
bahtera rumah tangga dengan penuh kasih sayang waima dunia pascakemodenan ini
penuh dengan pancaroba. Ramai yang menikmati hidup di rumah besar
tapi yang mereka rasa hanya kosong, dan ramai yang hidup di rumah kecil, tapi
mereka temui syurga di dalamnya.
Menikmati sebuah kebahagiaan tidaklah begitu mahal, kerana harganya
cumalah kasih sayang, masa bersama dan kesudian berkongsi rasa. Kita
semua mampu membayarnya. Allah SWT merakamkan kisah keluarga Imran dalam kitab
suci Al-Quran. Kenapa? Hal ini adalah kerana keluarga Imran adalah keluarga
contoh yang merasa risau akan zuriat mereka. Bukan risau soal makan, minum dan
tempat berteduh. Bukan juga soal pakaian dan hiburan. Tapi keluarga Imran
risaukan nasib zuriatnya, andai mereka gagal dibentuk menjadi sebenar-benar
insan. Bagaimana pula dengan masyarakatnya kelak? Oleh itu, keluarga yang
bahagia akan menjamin kesejahteraan masyarakatnya.
Tidak ketinggalan lagi
, Ibu bapa yang reda dengan zuriat
masing-masing akan berjaya membentuk keluarga bahagia. Tidak
semua impian setiap pasangan akan dikabulkan Tuhan. Ada pasangan yang dikurniai
anak-anak yang comel. Ada paangan yang langsung tidak mempunyai zuriat. Namun,
ada juga pasangan yang dikurniai anak-anak istimewa. Tidak seharusnya ibu bapa
meminggirkan anak-anak yang kurang upaya atau anak-anak yang tidak bijak hingga
melahirkan perasaan tersisih dalam diri anak-anak. Dalam kitab sejarah Ennels,
karya Tesites, kisah masyarakat Rom Purba telah dinukilkan. Pada tahun ke
seratus, hidup atau mati seorang anak kecil, bergantung pada belas ihsan
seorang ayah. Bagi wanita berada, yang mereka dahulukan adalah kemewahan, dan
anak-anak diserahkan pada hamba yang paling hina. Lebih dahsyat, seks rambang
dan arak adalah rutin harian mereka. Justeru,
seorang ayah berperanan menjaga anak-anak mereka untuk terus menikmati
kelangsungan hidup.
Peranan seorang ketua
keluarga dapat mengekalkan kebahagiaan yang sepatutnya menjadi milik setiap
orang anak. Dunia
juga telah membuktikan, Hellen Keller
yang dilahirkan pekak, buta dan bisu, atau Michael Oher yang berketurunan
Afrika, atau Riced Brenson, seorang kanak-kanak disleksia. Mereka semua tidak
akan membesar menjadi sumber inspirasi dan tokoh dunia, tanpa pengorbanan
keluarga yang berhati suci, dan yang menerima mereka seadanya. Di sebalik
warna kulit yang berbeza, di sebalik jasad yang tidak sempurna, dan disebalik
sejarah hidup yang hina, rasa syukur dan ikhlas sebuah keluarga, membawa mereka
semua merasa erti bahagia. Oleh itu, setiap ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa sepatutnya
bersyukur dengan zuriat yang dianugerah kepada mereka. Memiliki sesuatu
yang tidak dimiliki oleh orang lain adalah satu anugerah. Persamaan dan
perbezaan diukur dengan setiap apa yang dimiliki. Sesungguhnya manusia sentiasa
ingat apa yang dimiliki oleh orang lain dan sentiasa lupa dengan apa yang mereka
miliki. Begitu juga dengan anak-anak. Kebahagiaan
bukan diukur dengan kelebihan tetapi juga kekurangan kerana kekurangan kita
adalah kesempurnaan orang lain. Seyogia, terimalah seadanya apa yang
kita miliki kerana kebahagiaan itu milik semua insan.
Intihanya,
kebahagiaan adalah impian semua orang. Kebahagiaan rumah tangga dan kebahagiaan
dalam kehidupan adalah saling berkait. Kebahagiaan dalam kehidupan bermula
daripada kehidupan dalam rumah tangga. Rumah tangga yang aman akan melahirkan
persekitaran yang harmoni. Persekitaran yang harmoni akan melahirkan
kesejahteraan masyarakat. Di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Oleh
itu, berusahalah mencari kebahagiaan kerana di situ kunci kejayaan.
SOALAN 4 - Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam
kehidupan seseorang remaja. Sebagai seorang remaja, jelaskan ciri-ciri
rakan sebaya yang menjadi pilihan anda.
Peribahasa Melayu ada menyebut, seperti isi
dengan kuku. Hubungan yang akrab antara seorang individu dengan seorang
individu lain diumpamakan seperti isi dengan kuku. Bagaimana rapatnya hubungan
isi dengan kuku, begitulah juga ibaratnya hubungan yang akrab antara seseorang
itu dengan kawan rapatnya. Kawan rapat ialah kawan tempat kita mengadu
dan berkongsi masalah sama ada baik atau tidak. Ibarat mencubit
paha kanan, paha kiri terasa sakitnya. Begitulah peranan dan fungsi
rakan atau sahabat dalam kehidupan seseorang remaja. Remaja amat memerlukan
rakan sebaya untuk berkongsi masalah dan meluahkan perasaan. Namun, hendak
mencari kawan rapat yang sanggup menangis dan ketawa bersama-sama sangat sukar.
Sebagai seorang remaja, saya menggariskan beberapa
kriteria dalam pemilihan kawan rapat yang sebaya dengan saya.
Antara ciri utama rakan sebaya
yang menjadi pilihan saya ialah seorang yang menghormati ibu bapa dan orang tua.
Rakan sebaya yang menghormati ibu bapa dan orang tua lebih cenderung untuk
menghormati sahabat mereka. Rakan sebaya jenis ini akan lebih bertolak ansur
dalam perhubungan dan sentiasa menjaga hati dan perasaan sahabat baiknya.
Malah, rakan sebaya yang menghormati orang tua juga akan sentiasa prihatin dan
menjaga kebajikan sahabatnya. Mereka lebih mengutamakan sahabat baik daripada
kepentingan diri mereka sendiri. Mutiara
kata ada menyebut, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, nescaya kita
akan terkena tempias wangiannya. Sebaliknya jika kita berkawan dengan pembuat
senjata, nescaya kita akan terkena percikan apinya. Oleh itu, dalam
memilih rakan sebaya yang dapat membantu semasa saya dalam kesusahan ialah
memilih rakan sebaya yang menghormati ibu bapa mereka dan orang yang lebih tua.
Pujangga lama ada menyebut, yang tua disayangi, yang muda dikasihi.
Selain itu, memilih
rakan sebaya yang rajin membaca dan bijak dalam pelajaran adalah ciri yang
sangat penting. Sekiranya kita mempunyai masalah dalam
pembelajaran, kita akan dapat meminta bantuan rakan sebaya kita menyelesaikan
masalah pembelajaran. Rakan sebaya yang rajin membaca akan sentiasa mengajak
kita menelaah pelajaran dan mengunjungi pusat sumber pada setiap masa senggang
atau masa cuti sekolah. Rakan sebaya yang bijak juga akan mengajar kita
membahagikan masa dengan baik. Berkawan dengan orang rajin membaca dan bijak
dalam pembelajaran akan meningkatkan motivasi saya. Saya akan menjadikan rakan
sebaya yang bijak sebagai idola saya dalam mencapai kejayaan. Mutiara
kata yang berbunyi, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
sangat sesuai dengan peranan rakan sebaya yang membantu kita melakar kejayaan
yang lebih baik pada masa akan datang. Oleh itu, tidak rugi jika saya memilih
rakan sebaya yang rajin membaca dan bijak dalam pelajaran sebagai sahabat baik
saya kerana ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Sahsiah dan budi pekerti memainkan peranan penting dalam
membentuk peribadi seseorang remaja. Pembentukan peribadi yang terpuji bukan
hadir dalam sekelip mata. Begitu juga bukan tugas ibu bapa menggalas
tanggungjawab sedemikian. Peranan rakan sebaya banyak mempengaruhi tingkah laku
dan sahsiah remaja pada masa kini. Sehubungan dengan itu, saya
akan memilih rakan sebaya yang mempunyai budi pekerti yang baik dan sahsiah
yang terpuji sahaja sebagai sahabat baik saya. Hal ini dikatakan demikian
kerana, sahabat yang mempunyai sahsiah yang terpuji akan menunjukkan saya mana
yang positif dan mana yang negatif. Mutiara kata lama ada menyebut, seekor
kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit. Oleh itu, untuk
mengelakkan saya terjebak dalam gejala yang tidak sihat, saya akan memilih
rakan sebaya yang mempunyai budi pekerti yang terpuji agar saya dapat
mencontohinya.
Intihanya, membuat pilihan adalah di tangan kita. Ibarat
mencari pelangi, kita perlu menunggu hujan reda. Ibarat mengutip kenangan, kita
perlu mempunyai pengalaman. Tidak perlu mengasah parang atau menarik
baju ke lengan, kita bebas membuat pilihan siapakah calon rakan sebaya yang
layak menjadi sahabat baik kita. Oleh itu, buatlah pilihan yang bijak dalam
mencari rakan sebaya. Sekali terjebak selamanya terpenjara. Sekali
terlepas peluang, jalan pulang ke pangkal jalan tetap ada. Justeru,
berhati-hatilah memilih rakan sebaya kerana rakan
sebaya boleh membawa kita ke syurga dan rakan sebaya juga yang boleh mengheret
kita ke neraka.
Bahagian
B [ Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit ] [ 100 markah ]
Pilih satu daripada
soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih
daripada 350 patah perkataan.
1 Rakan
sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang remaja. Sebagai seorang
remaja, jelaskan ciri-ciri rakan sebaya yang menjadi pilihan anda.
2 Amalan
berjimat cermat amat penting dalam menghadapi krisis ekonomi hari ini. Berikan pendapat
anda tentang peranan keluarga dalam memupuk amalan berjimat cermat.
3 Usaha
yang berterusan untuk membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU)
amat wajar supaya mereka dapat memberikan sumbangan kepada negara. Pada pendapat anda,
apakah usaha-usaha untuk membantu golongan ini.
4 Kegiatan
jenayah membabitkan pemerdagangan manusia kini menjadi isu sejagat. Bincangkan kerjasama
antara Malaysia dengan negara jiran untuk menangani masalah tersebut.
5 Anak itik
terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.
Berdasarkan maksud pantun tersebut, huraikan kepentingan hidup berbudi dalam
masyarakat.
SOALAN 4 : KEBURUKAN TABIAT MEROKOK DALAM
KALANGAN PELAJAR
Tabiat
merokok dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat seiiring dengan
kenaikan harga rokok. Masyarakat Malaysia seolah-olah gembira melihat gambar
janin yang tidak lengkap di kotak-kotak rokok dan pelbagai gambar ngeri yang
terpamer di kotak rokok. Bahkan amalan merokok dalam kalangan rakyat Malaysia
sudah berjangkit kepada golongan wanita. Para pelajar apatah lagi. Semua premis
perniagaan ada meletakkan tanda amaran menjual rokok kepada remaja bawah umur
18 tahun namun ia diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga. Tiada
tindakan tegas yang diambil terhadap peniaga yang menjual hasil tembakau kepada
remaja bawah umur 18 tahun. Hal ini merupakan pemangkin kepada meningkatnya
jumlah perokok di negara kita. Walaupun kerajaan berusaha untuk menghapuskan
amalan merokok dengan menaikkan harga rokok, jumlah perokok tegar tetap
bertambah. Di manakah silapnya kempen-kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan
untuk mengurangkan jumlah perokok tegar di negara kita? Tepuk dada tanya selera
kerana setiap yang dilarang ada kesan buruknya. Begitu juga dengan amalan
merokok.
Amalan merokok
dalam kalangan pelajar amat membimbangkan. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan ini belum bekerja dan masih
berada di bangku sekolah. Jika mereka masih berada di bangku sekolah, bagaimana
mereka menguruskan kewangan untuk membeli rokok yang semakin meningkat
harganya? Kesan merokok kepada golongan pelajar amat berbahaya. Para pelajar yang merokok akan mengalami ketagihan
kerana mereka masih muda dan rokok mengandungi nikotin yang boleh merosakkan
sistem saraf dan otak mereka. Hal ini demikian kerana otak para
pelajar ini masih dalam proses pembesaran. Sekiranya hal ini berlarutan, akan
berlaku pembekuan darah dalam saraf otak pelajar ini. Apabila hal ini berlaku,
para pelajar yang merokok ini akan mengalami koma seterusnya boleh menyebabkan
kematian. Justeru, ibu bapa dinasihatkan memantau kegiatan anak-anak agar tidak
terjebak dalam gejala merokok ini kerana sekali mencuba mereka tidak akan
berpatah balik.
Selain itu, amalan merokok ini akan menyebabkan kerosakan
organ dalaman seperti paru-paru. Para pelajar yang merokok akan
menyebabkan paru-paru mereka menjadi kehitaman. Hal ini demikian kerana, asap
rokok yang mengandungi tar dan nikotin akan terperangkap dalam paru-paru.
Apabila keadaan ini berlarutan, paru-paru seseorang pelajar itu akan menjadi
kehitaman. Paru-paru yang berwarna kehitaman ini adalah tidak elok dan
lama-kelamaan paru-paru seseorang perokok akan rosak. Kerosakan paru-paru akan
menyebabkan seseorang itu sukar bernafas, sering batuk-batuk dan akhirnya
mendapat kanser paru-paru. Akhirnya ia akan membawa maut kepada perokok
tersebut. WHO mengeluarkan statistik, 8 juta orang maut di seluruh dunia setiap
hari kerana merokok. Mahukah ini berlaku kepada kita, anak-anak kita atau
anak-anak murid kita?
Seterusnya, keburukan amalan merokok dalam kalangan pelajar
ialah bertambahnya gejala sosial. Hal ini berlaku demikian kerana,
para pelajar yang merokok ini akan ponteng sekolah, mencuba benda yang lebih
mengkhayalkan daripada rokok sepertu syabu dan ganja seterusnya melibatkan diri
dalam kegiatan ragut. Masalah sosial dalam kalangan pelajar adalah kerana
tabiat merokok yang berlebihan menyebabkan seseorang pelajar itu merasakan
dirinya cukup dewasa untuk melakukan aktiviti orang dewasa. Rata-rata pelajar
yang merokok akan tercicir daripada alam persekolahan kerana hukuman mandatori
terhadap seseorang pelajar yang didapati merokok ialah buang sekolah. Jika
setiap bulan pelajar itu dibuang sekolah, di manakah mereka akan belajar?
Jawapannya mereka akan mencipta aktiviti baru yang tiada faedah seperti
melepak, melakukan vandalisme dan yang paling ditakuti mereka melibatkan diri
dalam jenayah. Oleh itu, amalan merokok mendatang pelbagai impak dalam diri
seseorang pelajar.
Intihanya, setiap
sesuatu yang diciptakan itu mempunyai kebaikan dan keburukan. Sesungguhnya
merokok tidak memberikan sebarang impak maksima dalam kehidupan seseorang
individu malahan ia memberikan pelbagai kesan negatif. Pisau di tangan kita, mentimun
pun di tangan kita. Justeru, gunakanlah akal yang bijaksana untuk
memotong atau tidak mentimun yang berada dalam tangan kita. Tiada
ubat yang lebih baik untuk mengubati penyakit selain mencegahnya. Oleh
itu, jauhilah amalan merokok kerana merokok mengundang bahaya kepada kesihatan
kita.
SOALAN RUMUSAN ( 30 % )
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tindakan-tindakan
bagi menangani iklan yang negatif dan kebaikan-kebaikan
memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.
Industri periklanan di Malaysia
merupakan satu daripada sektor yang berkembang pesat dan berdaya saing.
Perkembangan ini dapat meningkatkan pendapatan negara dan membuka peluang
pekerjaan. Di samping itu, kepesatan industri ini mendorong penghasilan dan
penerbitan iklan yang lebih banyak. Namun, disebabkan terlalu ghairah untuk
memenangi hati pengguna, kadangkala syarikat periklanan mengabaikan peranan
iklan sebagai sumber maklumat sehingga menjejaskan kepentingan pengguna. Oleh
hal yang demikian, kerajaan perlu bertindak bagi mengawal dan memantau aktiviti
periklanan di negara ini.
Dasar
langit terbuka dan dunia tanpa sempadan telah menyebabkan sebahagian masyarakat
menggunakan kemudahan Internet untuk membeli barangan dan perkhidmatan,
terutamanya golongan berada. Walau bagaimana pun, masyarakat perlu bijak
melakukan pembelian kerana kes penipuan melalui iklan di Inetrnet dilaporkan
meningkat dari semasa ke semasa. Pembeli dinasihati supaya menyimpan bukti
transaksi pembayaran sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku perkara
yang tidak diingini. Dalam hal ini, terdapat pembeli yang pernah tertipu telah
mewujudkan laman sosial antipenipuan. Mereka menyenaraikan nama kedai dan
individu yang disyaki menipu wang pelanggan sebagai panduan kepada pengguna.
Kmen-komen di laman sosial tersebut dapat dijadikan rujukan sebelum pengguna
membuat pembelian.
Selain
itu terdapat aduan bahawa pengguna tidak menerima barangan yang dibeli walaupun
pembayaran sudah dilakukan. Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan Garis Panduan Mengelakkan
Iklan Palsu dan Mengelirukan. Di samping itu, KPDNKK juga telah mengambil
tindakan memperhalus pindaan akta berkaitan iklan palsu, iaitu mengenakan
hukuman atau penalti terhadap pengiklan yang menghasilkan iklan yang
mengelirukan. Misalnya, dakwaan pengiklan terhadap penyembuhan penyakit kronik
dan penggunaan logo halal yang meragukan. Oleh itu, iklan yang hendak disiarkan
mestilah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa terlenih dahulu.
Kini,
masyarakat semakin mudah dipengaruhi oleh iklan yang dipaparkan. Oleh hal yang
demikian, mereka terdedah kepada pemaparan iklan palsu dan iklan yang
mengelirukan oleh syarikat-syarikat periklanan yang mengambil kesempatan
daripada keadaan ini. Masyarakat pengguna sewajarnya membuat aduan sekiranya
terdapat iklan yang menyebarkan maklumat palsu. Sehubungan dengan itu,
masyarakat tidak seharusnya mempercayai sesuatu iklan tanpa usul periksa.
Sesungguhnya, iklan merupakan medium pemasaran yang mampu mempengaruhi
pengguna, namun menjadi tanggungjawab syarikat periklanan menghasilkan iklan
yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Dipetik dan diubahsuai daripada ‘Awasi Iklan
Mengelirukan dan Palsu’ oleh zulaini ismail, Dewan Ekonomi, Mac 2013
Soalan 2 : Pemahaman - Soalan 2 (a)
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab
soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Apakah
maksud mengambil
kesempatan? [2
markah]
(ii) Pengarang
mengemukakan beberapa manfaat industry periklanan. Kemukakan manfaat-manfaat
tersebut. [3 markah]
(iii) Pada
pendapat anda, mengapakah pengguna mudah dipengaruhi oleh iklan barangan dan
perkhidmatan yang dipaparkan? Nyatakan tiga alas
an. [4
markah]
Contoh jawapan rumusan karangan.
Pendahuluan (tukar terlebih dahulu perkataan
kata kerja selepas arahan, iaitu tindakan-tindakan kepada perkataan yang
sinonim atau sama erti dengan tindakan)
Petikan membincangkan langkah-langkah bagi menangani iklan yang negatif dalam
Internet di negara kita.
Isi tersurat (Isi yang terdapat
dalam petikan)
Cara mengesan isi tersurat yang
terdapat dalam petikan ialah cari perkataan berikut terlebih dahulu
Perlu
Dinasihati
Juga
Dapat
Selain itu
Telah
Sewajarnya
Sewajarnya
Antara
tindakan bagi menangani iklan yang negatif ialah kerajaan perlu
bertindak bagi mengawal dan memantau aktiviti periklanan di negara ini.
Masyarakat perlu bijak melakukan pembelian di Internet. Pembeli dinasihati supaya menyimpan bukti transaksi pembayaran
sebagai langkah berjaga-jaga. Seterusnya, komen-komen di laman sosial dapat dijadikan rujukan sebelum
pengguna membuat pembelian. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan Garis Panduan
Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan. Di samping itu, KPDNKK telah mengambil tindakan memperhalus
pindaan akta berkaitan iklan palsu ------------------------------------------------------------------
Isi tersirat (tiada dalam
petikan tetapi KBKK iaitu kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam
iklan)
Kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan ialah dapat mempengaruhi pengguna membeli
barangan yang diiklankan. Selain itu, maklumat iklan juga dapat
melariskan barangan yang dijual kerana barangan tersebut memberi kesan yang
dikehendaki oleh pengguna.
Kesimpulan (Saranan
Penulis/Calon)
Kesimpulannya, pengeluar dan syarikat periklanan perlu mematuhi garis panduan
yang ditetapkan agar pengguna tidak tertipu semasa membeli barangan di Internet.
Rumusan karangan yang lengkap.
Petikan membincangkan langkah-langkah bagi
menangani iklan yang negatif dalam Internet di negara
kita.
Antara
tindakan bagi menangani iklan yang negatif ialah kerajaanperlu bertindak
bagi mengawal dan memantau aktiviti periklanan di negara ini. Masyarakat perlu bijak
melakukan pembelian di Internet. Pembelidinasihati supaya menyimpan
bukti transaksi pembayaran semasa pembelian. Seterusnya, komen-komen di
laman sosial dapat dijadikan rujukan sebelum pengguna membuat
pembelian. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) telahmelancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan
Mengelirukan. Di samping itu, KPDNKK telah mengambil tindakan
memperhalus pindaan akta berkaitan iklan palsu.
Kebaikan
memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan ialah dapat mempengaruhi pengguna
membeli barangan yang diiklankan. Selain itu, maklumat iklan dapat
melariskan barangan yang dijual kerana barangan tersebut memberi kesan yang
kepada pengguna.
Kesimpulannya,
syarikat periklanan perlu mematuhi garis
panduan yang ditetapkan agar pengguna tidak
tertipu semasa membeli barangan di Internet.
[120
patah perkataan]