flyer 2014-1

flyer 2014-1

Jumlah Pelawat Blog ini 游览总人数

Monday, November 7, 2011

SARAPAN MENJELANG PEPERIKSAN SPM 考前早点

SARAPAN MENJELANG PEPERIKSAN SPM考前早点

Para pelajar yang dikasih sekalian,

Saya paparkan 3 sampel karangan contoh / cemerlang yang penting untuk persediaan pelajar menjelang peperiksaan SPM nanti. INGAT, sampel ini bukan pasti keluar. Sekadar panduan , rujukan dan bahan yang terbaik.

1. Kesedaran rakyat negara ini terhadap makna kebebasan dan kemerdekaan negara sungguh mengecewakan sekali. Sikap seumpama ini dianggap kurang patriotik. Pada pendapat anda, mengapakah situasi tersebut terjadi? Cadangkan langkah-langkah untuk mengembalikan semangat menghayati kemerdekaan. Tulis pendapat anda itu.

Apabila dikenangkan semula memori malam 31 Ogos 1957, pekikan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, diri kita seolah-oleh dibawa semula oleh nostalgia yang penuh dramatik itu. Pekikan itu memberikan isyarat bahawa kita telah bebas daripada cengkaman penjajah dalam suatu siri penjajahan kuasa Barat selama 446 tahun. Episod penjajahan yang menyaksikan kita menjadi bangsa suruhan di bumi sendiri akhirnya berlalu hasil jerih payah tokoh-tokoh pejuang tanah air yang rela bermandi darah mempertahankan maruah bangsa. Namun demikian, setelah kemerdekaan negara mencecah hampir separuh abad, kelesuan dan kehambaran semangat patriotik semakin terpancar pada wajah generasi kini. Hilangnya semangat menghayati kemerdekaan dalam kalangan rakyat itu adalah berpunca daripada beberapa faktor yang sesungguhnya mendesak kita mencari jalan penyelesaiannya.

Banyak pendapat yang menyatakan bahawa sejarah itu merupakan guru yang mengajarkan kita erti kebenaran dan sejarah juga tidak pernah berbohong. Begitulah hakikat kebenaran sejarah yang boleh mendidik sesuatu bangsa agar kembali menoleh peristiwa jatuh bangun bangsa sendiri. Namun dalam arus ledakan teknologi yang memungkinkan manusia sering menghitung nilai kebendaan berdasarkan formula ringgit dan dolar nilai-nilai sejarah bukanlah barang yang boleh dikomersialkan. Akhirnya kecenderungan dan minat untuk menghayati sejarah luput ditelan bersama-sama asap tebal ekonomi industri. Inilah hambatan besar yang menyebabkan masyarakat tidak menilai apa-apa terhadap kepentingan sejarah sehinggalah momentum kemenangan berharga sebuah bangsa turut dilupakan. Pada masa ini nilai sentimental kemerdekaan seolah-olah tersimpan dalam diari sejarah di Arkib Negara sahaja.

Apabila kita ungkapkan semula kata-kata Mantan Perdana Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa “Melayu mudah lupa” justeru kenyataan tersebut adalah bertepatan dengan situasi ini. Sekalipun kita pernah tersiksa hidup dalam cengkaman penjajah, namun peristiwa itu sudah lama berlalu. Kini segala kesusahan dan keperitan telah bertukar ganti dengan kesenangan. Lantas kesenangan yang diperoleh itulah yang menyebabkan generasi kini mula alpa akan pengertian kemerdekaan. Mereka alpa kerana menjadi pemuja hedonisme, tidak sensitif, dan lebih parah lagi ada yang sanggup melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mencemarkan imej negara. Kealpaan di sebalik kesenangan itulah menjadikan kita leka dibuai oleh angan-angan. Kealpaan dan kesenangan juga menyebabkan semangat untuk mengisi makna kemerdekaan luput dalam jiwa dan sanubari.

Selain itu, sifat mementingkan diri sendiri dan terlalu memburu kesenangan duniawi turut melunturi semangat dan jiwa merdeka. Terdapat golongan yang sudah kaya raya yang tidak mempedulikan langsung seruan kemerdekaan sehingga tidak tergamak untuk mengibarkan sekeping Jalur Gemilang di premis mereka. Pada mereka, tiada apa-apa yang istimewa di sebalik kemerdekaan yang dikecapi terhadap kekayaan yang mereka peroleh kerana segala-galanya adalah hasil daripada titik peluh mereka sendiri. Golongan yang boleh dianggap parasit ini kadang-kadang memiliki pengaruh yang besar dalam kalangan masyarakat dek kekayaan dan kesenangan mereka. Tidaklah keterlaluan apabila dikatakan golongan inilah yang sanggup menjual khazanah negara demi memenuhkan kantung sendiri. Sekiranya negara pun sanggup diperdagangkan apalah ertinya kemerdekaan kepada mereka?

Memandangkan jiwa merdeka yang semakin luntur dalam jiwa rakyat Malaysia khususnya golongan muda, segala usaha untuk mengembalikan semangat tersebut hendaklah dihidupkan semula. Program-program bercorak hiburan yang boleh melalaikan golongan muda daripada menghayati sejarah negara wajar dikurangkan apabila setiap kali menyambut ulang tahun kemerdekaan. Sebaliknya program-program yang berunsur pendidikan dan berlatarbelakangkan sejarah negara mesti diutamakan di sepanjang bulan kemerdekaan. Program-program seumpama ini tidak boleh dijalankan sekadar memenuhkan agenda semata-mata, sebaliknya mesti berterusan di sepanjang bulan kemerdekaan.

Atas kepentingan negara juga, mungkin suatu pendekatan dalam bentuk indoktrinasi wajar dilaksanakan untuk melahirkan kesedaran terhadap semangat cinta akan negara. Pendekatan ini barangkali boleh menyebabkan para pemimpn menjadi tidak popular dalam kalangan rakyat, tetapi demi masa depan negara tindakan yang lebih tegas adalah perlu. Oleh itu, setiap kali menjelang bulan kemerdekaan setiap rakyat perlu diarahkan untuk memasang bendera Jalur Gemilang. Semua premis perniagaan dan jabatan kerajaan diwajibkan mencetak dan memasang tema sambutan kemerdekaan. Semua sektor industri dan kegiatan sosial yang bukan kritikal hendaklah dilarang daripada menjalankan kegiatan rutin. Selain itu, sebarang salah laku yang menyalahi etika agama dan moral perlu dicegah agar makna kemerdekaan yang sebenar tidak tercemar. Tempat-tempat awam dan premis-premis perniagaan wajar dipantau oleh anggota keselamatan untuk mencegah perbuatan sumbang dan tingkah laku yang menyimpang daripada ciri-ciri negara yang bertamadun. Walaupun langkah ini boleh mengurangkan kemeriahan acara sambutan, tetapi adalah lebih baik daripada imej kemerdekaan itu tercemar.

Sebagai bangsa yang sudah mampu bangkit di atas kekuatan kaki sendiri, kita wajar membuktikan peradaban kita kepada mata dunia. Janganlah perjuangan untuk memartabatkan bangsa yang telah menelan korban harta benda, darah, air mata, dan nyawa disia-siakan oleh golongan yang buta akan maksud kemerdekaan sebenar. Sesuggguhnya, kemerdekaan bukanlah sekadar untuk berseronok-seronok sebaliknya untuk mengembalikan imej dan jati diri bangsa.

2. Penularan jenayah ragut dan samun jalanan telah menimbulkan pelbagai implikasi sosial. Anda ingin menulis sebuah rencana tentang isu tersebut dengan memberi tumpuan kepada kesan-kesan jenayah ragut dan langkah-langkah untuk menanganinya. Tulis rencana anda itu.

Jenayah ragut dan samun jalanan suatu fenomena yang tidak selamat

Ditulis oleh : Permata

Perumpamaan sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga membuktikan selicik manapun seseorang penjenayah itu akhirnya akan terperangkap juga. Secara tersirat perumpamaan ini mahu mendidik masyarakat agar tidak melakukan perkara-perkara yang dikutuk seperti kegiatan jenayah. Namun begitu, amaran daripada perumpamaan tersebut tidak pernah menggusarkan golongan penjahat untuk meneruskan kerja terkutuk mereka. Belakangan ini masyarakat mula dilanda resah dan takut akan gejala jenayah ragut dan samun jalanan yang semakin menular. Kes-kes kecederaan dan kematian angkara perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini acap kali terpampang di dada-dada akhbar. Memandangkan jenayah ini boleh membawa ancaman yang lebih buruk terhadap kestabilan masyarakat dan negara, justeru semua pihak hendaklah lebih peka untuk tampil ke hadapan untuk bersama-sama menggemblengkan tenaga agar penularannya berjaya disekat.

Amat banyak implikasi negatif yang terpaksa ditanggung oleh individu mahupun masyarakat di sebalik jenayah yang bertopengkan syaitan ini. Imej daripada jolokon “Malaysia negara yang aman harmoni dan rakyatnya sihat sejahtera” sebenarnya tidak berlaku di sebalik insiden-insiden kejam sejak belakangan ini. Sebenarnya masyarakat mula dibelenggu oleh katakutan angkara satu lepas satu peristiwa jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini. Tugas harian mula terbantut dek kerisauan menjadi mangsa jenayah. Lebih-lebih golongan sasar seperti wanita dan warga emas, jaminan keselamatan sama ada di tempat kerja, dalam perjalanan mahupun di rumah semakin terancam. Bila-bila masa sahaja ‘seruan’ bahaya akan mengancam nyawa atau pun harta benda. Kebimbangan tersebut umpama bom jangka, ibarat geruh tidak berbunyi malang tidak berbau.

Peristiwa kematian seorang ibu yang sarat mengandung akibat terjatuh daripada motosikal selepas diragut terus meninggalkan kesan fobia terutama kepada golongan wanita. Malahan episod tersebut merupakan satu daripada beberapa banyak tragedi yang boleh membawa kepada kecederaan parah malah kematian juga. Kesannya, pelbagai aktiviti harian khususnya kepada golongan wanita terjejas. Sementara itu, ramai ibu bapa yang semakin bimbang untuk membiarkan anak-anak gadis mereka menunggang motosikal atau pun berjalan bersendirian. Bagi penjenayah pula, mereka sanggup berbuat apa-apa sahaja termasuk membunuh sekiranya tindakan mereka terhalang dan yang memungkinkan diri mereka teperangkap. Akhirnya, mangsa yang tidak berdosa terpaksa menanggung sengsara malahan tidak kurang pula yang hilang nyawa.

Keamanan dan kesejahteraan masyarakat mempunyai hubung kait yang bertali-temali dengan pembangunan iktisad sesebuah negara. Malang sekali, apabila masyarakat sentiasa diburu keresahan akibat jenayah, justeru banyak aktiviti perniagaan dan pergerakan masyarakat terancam. Sekiranya fenomena ini semakin tidak terkawal tidak syak lagi kestabilan ekonomi masyarakat akan terjejas dengan teruk. Golongan wanita sentiasa diancam kebimbangan untuk keluar bekerja, keyakinan para pelabur pula terjejas, manakala kehadiran pelancong juga semakin merosot. Apabila semua punca ekonomi terancam menyebabkan pendapatan isi rumah merosot. Selain itu, daya saing negara pula akan terhalang akibat indeks keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjunam. Sebenarnya semua angkara ini boleh meruntuhkan keharmonian masyarakat dan melumpuhkan ekonomi sesebuah negara.

Berdasarkan maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM), jenayah ragut yang mencapai kemuncaknya dalam tahun 2005 dan 2006 agak menurun sedikit hasil kerjasama orang ramai dan tindakan agresif pihak polis. Walau bagaimanapun, penurunan indeks tersebut tidak bermakna kita boleh tidur lena. Kelibat penjenayah tidak pernah senyap untuk mencuri peluang dan kesempatan. Oleh itu, kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap ancaman jenayah amatlah penting. Peranan media seperti surat khabar dan media elektronik tidak boleh hanya melaporkan satu lepas satu kejadian jenayah, sebaliknya pihak terbabit perlu lebih proaktif mendidik masyarakat tentang strategi berkesan untuk memerangi jenayah. Orang ramai perlu diberi panduan tentang kekuatan mental, emosi, dan fizikal ketika berdepan dengan jenayah. Selain itu, golongan lemah terutama wanita dan kanak-kanak tidak boleh terlalu bebas terdedah kepada khalayak. Selagi golongan tersebut terlalu bebas, maka kehadiran mereka ibarat pucuk dicita ulam mendatang dan orang mengantuk disorongkan bantal kepada penjenayah. Oleh itu, berwaspadalah dengan berpegang kepada ingat sementara belum kena dan jimat sementara belum habis.

Sudah sampai masanya antara polis dan masyarakat menjadi ‘sahabat’. Dalam menangani gejala ini, polis tidak mungkin mencapai kejayaan sifar tanpa sokongan orang ramai. Sikap menjadi ‘penonton’ setia kepada sesuatu perlakuan jenayah tanpa memberikan maklumat kepada pihak berkuasa sebenarya masih berleluasa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Selagi batang hidung sendiri tidak menjadi mangsa, mereka kurang ambil peduli tentang nasib orang lain. Inilah fenomena daripada sikap ‘nafsi-nafsi’ yang terlalu mementingkan diri sendiri. Gemblengan usaha bersama seperti menyertai Pasukan Cops, menubuhkan persatuan pencegahan jenayah dan Rukun Tetangga adalah amat wajar dalam situasi sekarang. Bayangkan, dalam setiap poket masing-masing ada menyimpin telefon, tetapi berapa peratuskah yang menyimpan nombor panggilan bilik Gerakan Polis? Inilah hakikat sikap tidak peka yang harus dikikis daripada minda rakyat Malaysia dalam usaha memerangi jenayah.

Selain itu, pihak berkuasa haruslah memperkasakan undang-undang pencegahan jenayah ragut dan samun. Langkah segera perlu untuk menggubalkan undang-undang yang lebih ketat. Masyarakat menuntut agar penjenayah ragut yang mengakibatkan kematian dan kecederaan parah mestilah menerima hukuman gantung sampai mati mandatori. Sungguhpun sesetengah pihak menganggap klise 旧版本 apabila undang-undang potong tangan mahu diperdebatkan semula, namun inilah jalan terbaik untuk menangani gejala manusia yang tidak berhati perut seperti itu. Usaha lain yang boleh diambil, semua penjenayah ragut dan samun yang berjaya dibuktikan, tindakan merampas dan mengisytiharkan muflis hendaklah dikenakan. Sementara itu, penjenayah daripada warga asing hendaklah dikenakan tindakan yang paling berat kerana kehadiran mereka sebenarnya umpama mencurah minyak kepada api yang sedang marak.

Sesungguhnya kepincangan dalam masyarakat yang berpunca daripada gejala sosial merupakan barah yang membawa kepada suasana porak peranda kepada sesebuah negara. Kita khuatir apabila anasir seperti ini tidak dibendung sehingga ke akar umbi nescaya suasana aman yang telah wujud sejak sekian lama akan musnah. Kita tidak rela negara yang aman damai ini akan bertukar menjadi negara mafia 黑手党dengan penjenayah ala ‘cowboy’ bermaharajalela. Oleh itu, “Cegahlah Sebelum Parah”.

3. Malaysia sentiasa prihatin terhadap bencana yang menimpa warga dunia. Pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan untuk meringankan penderitaan mangsa. Pada pendapat anda, mengapakah kerajaan dan rakyat Malaysia begitu prihatin? Tulis pendapat anda itu.

Hukum alam merupakan fenomena yang sukar ditandingi oleh kudrat manusia. Bencana seperti ribut taufan, tanah runtuh, gempa bumi, tsunami, ribut salji, dan sebagainya bukanlah padan saingannya dengan tenaga manusia. Selain fenomena alam, kekacauan seperti peperangan turut membawa musibah dan kesengsaraan kepada manusia. Penderitaan akibat kemusnahan yang tidak tertanggung itu sentiasa menggamit perasaan terharu kerajaan dan rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan. Pada hakikatnya, sumbangan yang tidak putus-putus disalurkan oleh kerajaan dan rakyat Maaysia telah meninggalkan pelbagai impak yang positif dalam aspek perhubungan antarabangsa.

Bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan dan rakyat Malaysia, antara lain adalah untuk menzahirkan tanggungjawab sebagai insan yang prihatin. Keperihatinan tersebut terbit daripada perasaan insaf akan nasib malang yang ditanggung oleh insan malang. Dengan sumbangan yang diberikan seolah-olah kita turut berasa keperitan yang ditanggung oleh mereka. Atas segala bantuan dan sokongan akan melahirkan semangat setia kawan dalam kalangan warga dunia. Sebagai contoh, apabila berlaku tragedi runtuhan kondominium Highland Tower pada tahun 1994, Malaysia telah mendapat bantuan pasukan penyelamat daripada pelbagai negara di seluruh dunia. Sesungguhnya, inilah lambang semangat setia kawan, dengan banyak tanda ada sedikit tanda ingat.

Sebagai anggota badan dunia yang bergabung di bawah payung Pertubuhan Bagsa-bangsa Bersatu, masyarakat Malaysia hendaklah menyahut seruan daripada badan dunia itu. Pelbagai rayuan yang disampaikan oleh pelbagai pertubuhan sukarela antarabangsa (NGO) telah mendorongi rakyat Malaysia untuk turut sama bergabung di bawah badan induk dunia itu. Hal demikian kerana sebagai suatu organisasi, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri dan menganggap sebarang malapetaka yang menimpa orang lain bukan menjadi tanggungjawab kita. Badan-badan sukarela seperti MERCY’S MALAYSIA, AMAN MALAYSIA, Persatuan Bulan Sabit Merah, dan Pasukan Smart adalah antara yang paling ke hadapan menyahut seruan kemanusiaan tersebut. Sebenarnya tanggungjawab kemanusiaan tidak pernah meletakkan sempadan politik dan geografi atau dibatasi oleh fahaman agama, bangsa, adat, dan budaya baharulah sesuatu sumbangan itu boleh dihulurkan.

Keperihatinan ini turut menjanakan perasaan bersyukur dalam kalangan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia wajar bersyukur kerana amat bernasib baik. Kita bebas daripada malapetaka dan bencana yang besar-besar yang sering mengancam negara-negara seperti Indonesia, Filipina, Iran, Turki dan banyak lagi. Atas menzahirkan rasa syukur itu, justeru rakyat Malaysia tidak lokek untuk menghulurkan bantuan. Kita sedar dan menerima hakikat bahawa bala dan musibah boleh menimpa sesiapa jua, bak geruh tidak berbunyi dan malang tidak berbau. Selain itu, kesyukuran turut dizahirkan atas nikmat kurniaan Tuhan yang mewah dan melimpah. Kita amat kaya dengan hasil bumi dan laut. Pihak berwibawa seperti TV3, bank, dan agensi-agensi akhbar haruslah dipuji kerana tindakan pantas dan ke hadapan mereka dalam isu-isu seperti ini. Oleh itu, kemewahan yang dianugerahkan patutlah dikongsikan dengan warga dunia yang malang kerana hidup ini ibarat tangan kanan melenggang tangan kiri pun turut menghayun.

Di pihak kerajaan pula, langkah ini menjadi jalinan strategik untuk menjalinkan hubungan diplomatik antara kerajaan. Hubungan diplomatik adalah penting untuk memperluas jalinan politik, ekonomi, dan sosial. Setiap kerajaan hendaklah memiliki rangkaian dua hala dan wujud semangat saling menyokong antara satu dengan yang lain. Pada hari ini Malaysia begitu tersohor di pentas antarabangsa bukan kerana gahnya kuasa politik. Sebaliknya, imej Malaysia amat terserlah atas kapasiti penglibatan aktif untuk memupuk persefahaman dan memberikan peluang yang sama rata kepada seluruh warga dunia. Dengan penglibatan yang aktif seperti itu kita dapat mengurangkan sikap prejudis dan mementingkan diri sendiri sebalikknya berjaya mempertingkatkan jalinan persefahaman multilateral.

Resam hidup meletakkan hukum alam, ibarat roda sekejap di atas manakala sekejap lagi di bawah. Tidak tahu bilakah masanya kita pula akan menerima musibah? Oleh itu, semangat perihatin seperti yang ditunjukkan sekarang amat baik dalam memberikan pendedahan kepada sukarelawan dan pasukan penyelamat Malaysia. Setiap anggota memperoleh kecekapan apabila sentiasa terdedah dengan pelbagai bentuk malapetaka. Di lokasi kejadian, mereka dapat menimba pengalaman yang banyak, dapat bertukar-tukar maklumat tentang teknik menyelamat mangsa dengan pasukan dari negara-negara lain terutama dari negara yang lebih canggih dalam aspek teknologi dan modus operandi mereka. Selain pasukan khas penyelamat, rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan pasti terpanggil agar tidak angkuh dan lalai dengan keselesaan yang dinikmati sekarang. Ingatlah, badi jangan dicari, rezeki jangna ditolak.

Peribahasa yang menyatakan, orang berbudi kita berbahasa, orang membei kita merasa menunjukkan bahawa kemuliaan hati dan ikhlas yang dihulurkan sesama manusia pasti memperoleh balasan baik . Bagi yang bernasib baik perlulah bersyukur. Malahan mereka wajar membantu sesama manusia yang ditimpa malang. Segala bantuan dan sokongan tersebut pasti diganjari Allah dengan pahala yang berlimpah. ^^ Diubah suai Cikgu Li drp esei Ishak /11 / 2011

1 comment:

  1. kepada sesiapa yang copy paste karangan ini. sebenarnaya karangan daripda buku spm booster keluaran sasbadi. sebiji sama

    ReplyDelete