Pernyataan ‘keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara’ jelas
menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan peranan yang penting dalam
membentuk keperibadian mulia kanak-kanak. Remaja kini sering melibatkan diri
dalam masalah sosial yang telah mencetuskan isu polemik dalam kalangan media
massa yang saban hari meniti dari bibir ke bibir. Siapakah yang harus
dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu, sesuatu perkara berlaku tentu ada
sebab-sebab yang mendorongnya kerana pepohon pokok tidak akan
berliuk-lintuk jika tidak ditiup angin. Pembentukan keperibadian mulia
anak-anak bermula daripada institusi keluarga. Sesebuah keluarga dibentuk
dengan peranan ibu bapa masing-masing.
Ibu bapa seharusnya mementingkan zuriat mereka sendiri daripada kerjaya.
Malangnya, kebanyakan ibu bapa kini yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga
menyebabkan anak-anak mereka di rumah berasa tersisih seperti anak
kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal yang
demikian, ibu bapa haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka
agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi fizikal dan mental.
Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya dalam kebendaan tetapi
muflis dari segi keperibadian akan secara tidak langsung mendampakkan kesan
negatif terhadap anak-anak mereka. Oleh itu, keluarga terutamanya ibu bapa
memainkan peranan yang penting untuk membentuk keperibadian anak-anak.
Selain itu, ibu bapa haruslah memberi didikan dan asuhan yang baik sejak
kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Anak-anak tentunya dapat mengimplimentasikan nilai-nilai murni dan sikap
positif ini dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sanubari yang baik.
Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di
rumah, oleh hal yang demikian, mereka mestilah sentiasa bersikap penyayang dan
berbudi pekerti mulia dan jangan sesekali menjadi seperti ketam
mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri berjalan mengiring.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa jati diri anak-anak dapat dibentuk melalui
institusi keluarga khususnya ibu bapa yang memainkan peranan yang penting.
Di samping itu,
anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa mencontohi kelakuan ibu bapa
mereka keranabapa borek, anak rintik. Ibu bapa merupakan tempat
luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling dipercayai anak-anak. Lantaran
itu, ibu bapa sewajarnya mengindoktrinasikan pucuk-pucuk hijau dengan
nilai-nilai murni ini bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak remaja
kini sering melibatkan diri dalam kebejatan sosial dan budaya hedonisme yang
begitu cepat merebak bagai virus epidemik. Melalui nasihat
dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak akan tahu cara-cara untukmembezakan antara intan dengan kaca
kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna lagi. Institusi keluarga memang merupakan salah satu langkah yang
signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak.
Dalam nada yang berbeza, keluarga yang marem dan sakinah turut
merupakan tempat yang paling baik agar proses pengajaran dan pembelajaran
dilakukan dalam kalangan anak-anak. Sikap-sikap yang positif haruslah disemai
dalam jiwa anak masing-masing bentuk menjamin kesejahteraan hidup dan
pembentukan keperibadian mulia mereka. Anak-anak yang berusia setahun jagung,
berdarah setampuk pinang ini mesti diberi penekanan dari segi mental dan
fizikal supaya kelak dapat menjadi tunggak negara.
Intihanya, keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran negara dan menggalas
tanggungjawab yang berat untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa mestilah
menjalankan obligasi masing-masing dengan tidak
melepaskan batuk di tangga. Jikalau anak-anak kini berjaya membentuk
keperibadian yang mulia, sudah tentu anak remaja yang merupakan pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara ini dapat menjadi pemimpin
yang berkaliber kelak. Impian mantan Perdana Menteri kita iaitu Pak Lah untuk
membentuk sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat
dimakbulkan, sekali gusmenjadikan negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.
No comments:
Post a Comment