KARANGAN SOALAN DIMENSI INDIVIDU / DIRI SENDIRI
Belakangan ini, isu keruntuhan akhlak
dalam kalangan remaja hangat diperkatakan dan membawa impak yang buruk
kepada generasi akan datang. Huraikan peranan anda sebagai
seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.
Karangan Lengkap
Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara
Berikut adalah
sebahagian daripada lirik lagu Remaja persembahan kumpulan nasyid
Unic yang menggambarkan signifikannya peranan remaja pada masa ini. Lagu
yang menyuntik semangat ini menyeru para remaja agar menggunakan masa
dengan sebaik-baiknyanya dan mempunyai iltizam yang kuat demi memajukan diri
masing-masing. Melalui usaha yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu
dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah yang terpuji, remaja akan
menjadi anak watan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa. Remaja
kini begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh
media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa
dan masyarakat ataupun konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari
semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara. Pergolakan
antarabangsa yang berlaku sedikit banyak mempengaruhi akidah remaja kita.
Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri atau ingin tahu yang
tinggi berserta gelodak keinginan untuk mencuba sedaya upaya sehingga
berjaya bak kata pepatah, Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai
ke pangkal lengan, perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik
melalui diri sendiri, ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun kerajaan
memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini
lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara yang unggul dan terbilang. Negara
memerlukan remaja yang mempunyai nilai mandiri dan jati diri yang utuh di
samping berdaya saing serta berfikiran kreatif dan inovatif. Namun demikian,
amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan
sentiasa mendukung panji, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini
dikaitkan dengan isu keruntuhan akhlak. Perbuatan yang melanggar norma, aturan
atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan
membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang bak kata pepatah, Air
perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini begitu hampir dengan saya
memandangkan saya juga seorang insan yang bergelar remaja justeru saya
mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki
ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.
Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji,
saya akan mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama
merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah
s.w.t. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu
dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh dibuktikan melalui
pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert
Einstein yang menyatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah
lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang
sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau
berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah
s.w.t. Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan memahami
Al-quran, mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta para
sahabat. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam
Al-quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber primer saya bagi
membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah
yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang mendalam
sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai yang
perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Nilai-nilai seperti
ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya
memandu diri saya membina peribadi mulia. Pengajaran daripada Al-quran dan
hadis mampu memberikan anjakan paradigma kepada saya dalam melahirkan segala
tindak tanduk berpaksikan tuntutan agama. Jikalau saya tidak memahami kandungan
Al-quran ataupun hadis, saya akan berjumpa dengan ustaz atau ustazah yang
mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama yang kudsi ini. Saya
akan meluangkan masa untuk pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu agama
kerana di perpustakaan, suasananya yang hening mampu menenangkan fikiran dan
mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu agama, saya yakin saya mampu membentuk
sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan memperlihatkan kesopanan berbudi
bahasa, kemanisan berkata-kata dan kemampuan memberikan buah fikiran dengan
penuh tertib serta matang berlandaskan akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Jelasnya,
saya tidak akan terjebak dalam isu keruntuhan akhlak remaja malah menjadi
penyumbang kepada generasi masa hadapan yang memiliki sahsiah terpuji.
Selain itu, satu
lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan menumpahkan
ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan yang
paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini,
saya Ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka.
Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya bermula dengan ibu yang
mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari
ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi
menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh
ikhlas yang dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup
seperti Si Tanggang atau Si Malim Kundang yang merupakan anak
derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar
dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati
yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak
dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan berbincang
dengan cara yang paling berhemah atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala
permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa, Buang yang keruh
ambil yang jernih. Allah telah memberikan kedudukan yang tinggi
kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Perkara
ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang
menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara
menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa
melalui perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka dan menjauhkan
diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat
kepada ibu bapa adalah amalan yang wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan
adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu
bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa
berkat. Terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesiapa
yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia
berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim." Tegasnya,
mentaati ibu bapa mampu menjadikan diri saya sebagai individu yang mempunyai
sahsiah diri terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang
merosakkan akhlak.
Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat
saya laksanakan adalah dengan menghormati guru-guru. Sepanjang
pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar pelajar, saya akan
menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana
mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan
berpijak di bumi yang nyata dengan menjadi insan yang sebaiknya dan berguna.
Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula
daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah
mentertawakan kesalahan yang saya lakukan malah membetulkan setiap satu
daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan Wellington iaitu, ‘Usah
merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan
yang lebih baik”. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat,
bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru sebagai pendorong dan motivasi untuk
saya berjaya menjadi modal insan kelas pertama yang mampu mendaki ke puncak
menara gading. Guru bukan sahaja sebagai ibu, bapa, pengajar, pendidik,
pengasuh, penasihat dan pembimbing malahan guru adalah segala-galanya bagi
seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak
muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru
itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan di
akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah
s.w.t. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak
akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas
terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi. Justeru dengan
menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk
sahsiah diri yang terpuji.
Dalam pada itu, saya akan
menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan. Secara
perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama-sama
rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian
kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat
mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan dengan itu, saya
akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama
ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang
mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif
terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969
yang telah mengorbankan banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya
akan memberikan pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia
merupakan rakan yang baik dan telah membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam
kehidupan yang singkat ini, saya perlu berbaik-baik dengan semua orang dan
bekerjasama dalam semua bidang kerana Yang berat sama dipikul, yang
ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan
meramaikannya seperti kata-kata pujangga, Berkawan biar seribu
tetapi musuh jangan sesekali dicari. Saya akan menjadi
seseorang yang dapat memberi manfaat dari aspek dorongan, nasihat, ilmu dan
sebagainya kepada orang lain. Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok
apabila berkawan dengan saya sekiranya saya tidak bersikap bagai Buntal
kembung. Apabila saya menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan,
masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus hidup saya sejajar dengan
visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah terpuji.
Peranan saya yang
terakhir adalah dengan berusaha
bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara
yang tidak berfaedah dan tidak bermoral. Seseorang yang ingin mempunyai
sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan perkara negatif yang mampu
meruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa
dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya dengan hasutan syaitan yang
membisikkan madah berhelah kepada anak Adam agar
melakukan dosa. Saya sentiasa berwaspada dengan ajakan syaitan yang telah
berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah s.w.t. telah
mencampakkannya keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam.
Kesombongan yang merajai di hati syaitan adalah kerana dia diciptakan daripada
api manakala Adam daripada tanah. Kedegilan syaitan kian hari kian diwarisi
manusia hingga pelbagai kebejatan moral dan perlakuan hedonisme mewarnai
kehidupan hinggakan nilai-nilai murni dikesampingkan. Saya tidak mahu terjebak
dalam kancah yang serba menyesakkan nafas dan boleh memusnahkan visi dan misi
saya sebagai seorang muslim yang cemerlang dan memiliki sahsiah yang terpuji.
Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Chee pernah menyuarakan pendapat
bahawa, para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting
dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja dan
pada bila-bila masa. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri
daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas
aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. Tanggapan
pertama orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain
akan dapat menilai diri kita yang sebenar.
Kesimpulannya,
gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak
dalam kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak
dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan
mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip
yang saya pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri
yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri ini saya yakin akan membentuk saya
menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak
berbelah bahagi, mempunyai nilai kerohanian yang amat tinggi serta mewarisi
ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah s.a.w. Mutiara kata ulamak
tersohor Hamka akan saya jadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Menurut
beliau, “Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari,
tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya, tidak pernah mencuci
hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.” Tidak akan
saya lakukan perkara yang sia-sia yang bisa menyesatkan saya daripada landasan
sebenar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan akidah
akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya. Semoga isu keruntuhan akhlak
remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan budaya negatif kepada generasi
yang akan datang bak kata peribahasa, Sebab nila setitik rosak susu
sebelanga.Ayuh remaja, bertindaklah segera dalam memainkan peranan anda
dalam mengekang isu keruntuhan akhlak yang sangat sinonim dengan golongan
remaja!
No comments:
Post a Comment