KARANGAN CONTOH SPM 2012
SOALAN : Keharmonian dalam rumah tangga dapat
diwujudkan daripada sikap yang baik dalam kalangan anak-anak. Bincangkan
sikap yang perlu ada kepada anak-anak bagi melahirkan sebuah keluarga yang harmoni
Keluarga bahagia adalah menjadi impian
semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua keluarga.
Keluarga bahagia menjadi terminal untuk membangunkan sebuah masyarakat yang
sihat sama ada dalam aspek mental, fizikal, emosi mahupun sahsiah. Namun
demikian, bukan semua impian untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni
boleh mencapai matlamat. Sekiranya semua impian boleh dicapai dengan begitu
mudah, nescaya tiadalah keluarga yang pincang dan terbentur kecundang ditelan
gelombang. Walaupun, tanggungjawab membangunkan keluarga yang harmoni terletak
atas kebijaksanaan ibu bapa, namun anak-anak turut tidak terkecuali. Oleh
yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang harmoni, anak-anak
haruslah bersikap positif dan turut memainkan peranan agar keluarga yang dibina
menjadi keluarga progresif, harmoni, dan sejahtera.
Strategi penting untuk menjayakan
matlamat di atas, anak-anak hendaklah menjadi seorang insan yang patuh kepada
agama dan taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana
sikap tersebut amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun budaya. Oleh itu,
jadilah anak-anak penawar hati dan pelunak perasaan kepada ibu dan ayah.
Hormati dan taatilah ibu bapa kerana kesejahteraan dunia dan akhirat adalah
dengan redha ibu bapa. Apabila ibu bapa dipatuhi manakala perintah Tuhan
ditaati nescaya lahirlah insan sempurna sama ada peribadi mahupun nurani .
Sesungguhnya, inilah watak yang menjadi resepi lengkap untuk mewujudkan
keharmonian dalam harapan menjadikan “Rumahku Syurgaku”.
Selain itu, anak-anak yang baik adalah
yang mulia budi perkerti dan bermoral tinggi. Budi pekerti dan moral sentiasa
menjadi pakaian peribadi. Apabila elok pekerti nescaya terserlahlah nilai-nilai
insani. Sudah sewajarnya, anak-anak mencerminkan diri dengan akhlak dan sopan
santun, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri lihatlah
pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu,
hiasilah diri dengan kelembutan hati dan kesederhanaan sikap sebagai penyuluh
pekerti kita. Hormatilah setiap ahli keluarga dengan yang tua dihormati,
manakala yang muda disayangi. Seandainya, karekter seperti ini kekal
diperkasakan, insya-Allah lahirlah sebuah keluarga yang harmoni, ibarat di air
yang bening terpancar bayang yang jernih.
Sikap
ringan tulang dan keletah yang ada pada sesetengah anak merupakan kriteria yang
amat baik untuk membentuk keluarga yang harmoni. Anak-anak seperti ini tidak
pernah berkira sama ada tenaga mahupun penat lelah dalam memberi khidmat kepada
keluarga. Mereka mudah mesra dan cepat peka terhadap segala kerenah dalam
keluarga. Ketiadaan mereka di rumah amat dirasa oleh semua ahli keluarga.
Malahan ada ketika wujud salah faham apabila anak-anak seperti ini dianggap
anak emas pula. Sepatutnya inilah sikap yang wajar ditunjukkan oleh anak-anak
sebagai tanda membalas budi ibu bapa di samping mengikat hubungan mawaddah
dengan ahli keluarga yang lain. Sebagai anak, ingatlah akan kelahiran kita ke
dunia adalah atas limpahan darah, peluh dan air mata seorang ibu. Dengan hal yang
demikian, balasi ibu bapa dengan sikap ringan tulang demi sebuah keluarga yang
harmoni dan prihatin.
Resam
hidup, patah tumbuh hilang berganti. Sampai waktu ibu bapa akan berlalu pergi,
justeru anak-anak pula yang mengambil giliran. Memahami situasi hukum alam itu,
anak-anak wajar bersedia untuk mengambil tanggungjawab. Tanggungjawab seperti
menjaga rumah tangga, menghubungkan silaturahim dengan adik beradik dan menjaga
maruah serta nama keluarga amatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun.
Seandainya, nilai-nilai murni ini boleh diperkasakan sudah pasti keharmonian
dalam rumah tangga akan terbentuk. Anak-anak seyogia perlu berpandangan jauh
kerana segala sikap mereka menjadi cermin kepada ibu bapa kerana mengenal
batang (perdu) lihatlah pada daunnya. Janganlah terjadi seperti segelintir
anak-anak yang lupa diri ibarat buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Oleh itu,
sebagai anak yang baik bersedialah untuk mengambil tanggungjawab untuk
mengharmonikan keluarga.
Bertolak
ansur dan saling memahami menjadi sebahagian resepi untuk melahirkan sebuah
keluarga yang harmoni. Oleh hal yang demikian, dalam kalangan anak-anak
wujudkan sikap saling bertoleransi supaya keluarga beroleh aman dan tenteram.
Daripada sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling
menghargai antara satu sama lain. Tiada masalah salah faham dan salah anggap
kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir. Sesama
adik-beradik jalinan hormat dan kasih ibarat isi dengan kuku. Sebarang
perbuatan yang boleh menyakiti darah daging sendiri tidak lebih daripada cubit
peha kiri peha kanan pun sakit juga. Seandainya wujud salah faham pun, carilah
jalan penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan adik-beradik ibarat air
dicencang tidak akan putus. Oleh itu, setiap ahli keluarga bertanggungjawab
untuk menjaga dan memupuk institusi yang tertua dalam sejarah manusia ini agar
terus subur dengan sifat kasih sayang, harmoni dan penuh mawaddah.
Sesungguhnya,
keluarga yang harmoni menjadi teras kepada masyarakat yang dinamik. Sikap
penyayang ibu bapa dan tingkah laku yang positif dalam kalangan anak-anak
menjadi wadah utama untuk membina keluarga yang harmoni. Oleh itu, sebagai
anak, berilah sumbangan yang terbaik agar keluarga memperoleh kebahagiaan.
Ingatlah pada pesanan, “Keluarga bahagia penjana kecemerlangan ummah”.
Karangan yang sangat baik,Thank you...
ReplyDelete