^^ Disediakan Agata/ Jayadidik /Usaha Terbilang / Cikgu LI / 3/11/ 12
Tema :
Keluarga
|
Tugasan : Ciri-ciri keluarga yang diimpikan
|
“Rumahku, syurgaku” merupakan ungkapan keramat yang
memanifestasikan peri pentingnya setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan
peranan masing-masing dengan sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan
yang menjadikan rumah seumpama syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga
yang bahagia, tidak terkecuali saya. Dalam sebuah keluarga yang bahagia, nilai toleransi,
bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya
menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli
keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang
lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus
diamalkan dalam sesebuah keluarga. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu
mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni.
Oleh itu, kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan
kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang
berjaya dalam kehidupan.
Sesungguhnya setiap
individu harus memikul dan melaksanakan kewajipan masing-masing demi
mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan
peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan
dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan
membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan
bekalan yang terbaik kepada anak-anak seperti ilmu pengetahuan dan penerapan
nilai-nilai murni. Anak-anak pada era globalisasi ini semakin cepat
menerima apa-apa yang dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibaja
dengan perkara yang baik dan berfaedah serta membuahkan hasil. Anak-anak umpama
sehelai kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi sehelai
kain batik yang cantik lagi menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu
bapalah yang menjadi guru mereka kerana merekalah guru
yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya menjadi insan
yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah ibu
dan bapa kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal
ini dapat diibaratkan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Haruslah
diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada
yang akan menjejaki langkah mereka. Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa
haruslah membentuk sahsiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang cemerlang
dari segi fizikal mahupun rohani mereka dan ciri keluarga beginilah
yang menjadi impian saya.
Selain itu, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka
yang mana intan, yang mana kaca, iaitu mereka bijak membezakan
antara perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh
sifat anak-anak yang naif lantas tidak berupaya membezakan antara
perbuatan yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam konteks
ini ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka tentang
realiti menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi
pergaulan anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas
sehingga terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila
yang meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun jagung dan darah
setampuk pinang. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak
bergaul dengan rakan yang buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan
masa depan mereka. Tidak cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena
tak bena. Sebaliknya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan
secukupnya selain melayan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh.
Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak memperoleh didikan agama
yang mantap sejak anak-anak masih kecil lagi kerana tanpa pegangan agama yang
kukuh mereka akan tersesat seperti layang-layang terputus talinya.
Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak sejak mereka kecil lagi
supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh belantara kehidupan. Dalam
benak saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang
menjadi idaman saya.
Anak-anak akan kehilangan semangat
untuk melakukan sebarang kerja seharian jika ibu bapa tidak meluangkan
masa dengan mereka walaupun hanya untuk bertanyakan khabar.
Lantaran itu, ibu bapa haruslah
berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Meluangkan
masa bersama-sama ahli keluarga tidak bererti mereka hanya melakukan
aktiviti di luar rumah, bahkan usaha tersebut boleh juga dilakukan
di dalam rumah sepeti membincangkan masalah yang membelenggu pemikiran anak-anak
di samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap
anak-anak dengan bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan
pelajaran di sekolah dan kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya
memperlihatkan sikap rakus dalam mengejar fatamorgana dalam aspek
kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.
Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi tetapi
kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah penting bagi
menjana keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa mencari rezeki
pada siang hari, tetapi jika sering pulang lewat petang sehingga
mengabaikan makan minum anak-anak, tentu mereka akan makan hati.
Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang kurang memperoleh kasih
sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau bagaimanapun, ibu
bapa haruslah meluangkan masa mereka bersama dengan anak-anak agar
mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga bahagia.
Menjadi anak yang derhaka ialah perkara
yang dilarang sama sekali dalam mana-mana ajaran agama. Untuk mewujudkan
keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu bapa mereka.
Anak-anak hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan
mendapat keputusan yang cemerlang kerana pencapaian tersebut dapat
membanggakan ibu bapa untuk membalas jasa mereka. Anak-anak seharusnya
memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan
aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah.
Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa, bukannya menjadikan diri
mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak sepatutnya jasa
ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan begitu sahaja. Sebagai
insan yang bergelar anak kita haruslah mengenang jasa mereka kerana
kita ditegah untuk menjadi seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak
haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu menjaga kita sewaktu kecil
dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk menjaga ibu bapa mereka
yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri mereka lagi. Jika ibu
bapa boleh menatang kita umpamaanak emas, mengapa kita sebagai anak
tidak boleh melakukan hal yang sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak
bijak untuk menghargai seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka
sedangkan ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik dan menjaga
mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa,siapakah kita pada
hari ini? Akhir sekali,anak-anak harus mentaati perintah ibu bapa agar
keluarga bahagia dapat dibina. Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu
ada dalam sebuah keluarga yang menjadi impian saya.
Haruslah menjadi kewajipan dalam institusi kekeluargaan untuk saling hormat menghormati antara
satu sama lain. Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada
mencetuskan pertelingkahan, terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana
keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh
mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan
bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai.
Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga,
mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita
dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina.
Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain.
Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik,
haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah
sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang
yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang,
malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah.
Kita haruslah mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama
dituruni. Tegasnya, saya mengimpikan ahli keluarga
yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan untuk
membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang
agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.
Kesimpulannya, itulah antara
ciri keluarga yang menjadi impian saya, terutamanya setelah saya dewasa dan
membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya
berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan
saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan
pasangan yang menjadi suri kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan
sebaik yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model
mereka. Dengan keizinan daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan
tercapai. Lebih jauh lagi, saya mesti berusaha dengan penuh kesungguhan agar
impian tidak tinggal sebagai mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah
kejayaan. Semoga fajar
yang menyingsing pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan
datang memberikan sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya.
Penskoran :
Peringkat
|
Cemerlang
|
Markah dicadangkan
|
82 - 85
|
Komen :
|
|
Tugasan
|
Menjawab tugasan.
|
Idea
|
Relevan. Huraian jelas.
|
Bahasa
|
Ayat gramatis. Kosa kata luas dan menarik.
|
Pengolahan
|
Menarik dan berkesan. Pemerengganan
seimbang.
|
No comments:
Post a Comment